Penduduk Gaza semakin kelaparan

Sekumpulan kanak-kanak menunggu giliran untuk mendapatkan makanan yang diagihkan pekerja bantuan di tengah Gaza.
Sekumpulan kanak-kanak menunggu giliran untuk mendapatkan makanan yang diagihkan pekerja bantuan di tengah Gaza.
A
A
A

DEIR AL-BALAH - Itimad al-Qanou bergelut untuk memastikan tujuh anaknya tidak kelaparan ketika Genting Gaza kini dicengkam krisis kebuluran.

Wanita itu sudah lelah untuk menanggung penderitaan akibat perang genosid yang sudah berlarutan selama lebih setahun di wilayah tersebut.

“Kami tidak sanggup lagi hidup merana seperti ini. Kasihani-lah kami.

“Lihat nasib anak-anak saya ini,” kata ibu kepada tiga anak lelaki dan empat perempuan berusia antara lapan dan 18 tahun itu.

Penduduk Palestin kini hanya mengharapkan agihan makanan untuk mengisi perut mereka.
Penduduk Palestin kini hanya mengharapkan agihan makanan untuk mengisi perut mereka.

Sekumpulan kanak-kanak di bandar Deir al-Balah di khemah agensi bantuan dilihat memegang bekas kosong di tangan masing-masing menunggu agihan makanan buat mereka.

Sup kekacang yang disediakan pekerja bantuan hanya dapat mengisi perut kosong kebanyakan keluarga Palestin yang terpaksa menahan lapar dan berdepan malnutrisi teruk.

Menurut Qanou, keluarganya masih terselamat daripada hujan bom rejim Zionis yang telah membinasakan seluruh kawasan di Gaza.

Artikel Berkaitan:

“Tiada siapa peduli tentang kami. Lintasan sempadan untuk penghantaran bantuan kemanusiaan juga terus ditutup dan tiada siapa bersuara tentang perkara itu.

“Amerika Syarikat (AS) juga menyokong kekejaman Israel ke atas kami,” katanya.

Qanou menyuap roti kepada anak-anaknya.
Qanou menyuap roti kepada anak-anaknya.

Selepas lebih dua bulan, konvoi trak bantuan akhirnya diberikan akses memasuki utara Gaza melalui lintasan sempadan Erez pada Isnin.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden pada pertengahan bulan lalu kembali bermain wayang apabila mahu melihat sama ada sekutunya, Tel Aviv membuat sebarang kemajuan tentang situasi kemanusiaan di Gaza pada minggu ini untuk menentukan bagaimana Washington akan bertindak balas termasuk menggantung bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar.

Ketika ini hanya sedikit inisiatif dibuat Israel yang mungkin untuk mengaburi mata komuniti antarabangsa.

Keadaan tempat memasak Qanou di khemah sementara keluarganya yang serba daif.
Keadaan tempat memasak Qanou di khemah sementara keluarganya yang serba daif.

Laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) menunjukkan penghantaran bantuan ke Gaza semakin berkurangan berbanding ketika fasa awal peperangan pada Oktober 2023.

Susulan itu, Jawatankuasa Semakan Kebuluran memberi amaran tentang risiko krisis kebuluran susulan keadaan terus meruncing di enklaf tersebut.

KELAPARAN JADI SENJATA

Sebelum ini, pakar keselamatan global memberi amaran kemungkinan besar kebuluran teruk akan melanda utara Gaza di tengah-tengah kempen pengeboman yang semakin sengit di kawasan itu atas alasan mahu menghalang pejuang Hamas daripada bergabung semula.

Konvoi trak bantuan kemanusiaan melintasi sempadan Rafah sebelum ia dikuasai rejim Zionis pada Mei lalu.
Konvoi trak bantuan kemanusiaan melintasi sempadan Rafah sebelum ia dikuasai rejim Zionis pada Mei lalu.

Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini turut menuduh Zionis menggunakan kelaparan sebagai ‘senjata’ untuk menghapuskan penduduk Palestin.

Selain krisis kebuluran, penduduk Gaza juga tiada lagi tempat selamat yang mahu dituju selepas berulang kali terpaksa berpindah secara paksa di bawah arahan Israel.

Bandar khemah yang menjadi tempat berlindung golongan berkenaan terus dibedil tanpa perikemanusiaan.

Ramai penduduk Gaza melihat situasi tersebut adalah lebih teruk berbanding Nakba (malapetaka) pada 1948 ketika ratusan ribu penduduk Palestin diusir Zionis yang menduduki wilayah mereka semasa penubuhan negara haram Israel.

Penduduk Palestin yang berjalan kaki ketika berpindah dari utara ke tengah Gaza terdedah kepada bedilan rejim Zionis.
Penduduk Palestin yang berjalan kaki ketika berpindah dari utara ke tengah Gaza terdedah kepada bedilan rejim Zionis.

“Keadaan lebih tujuh dekad lalu tak seteruk yang dihadapi sekarang. Kini segala-galanya samar-samar.

“Tiada jaminan keselamatan, tiada apa-apa pun yang tinggal buat kami,” ujar Mohamed Abou Qaraa, salah seorang penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!