[VIDEO] 'Gajah perenang sangat hebat'
KUALA BERANG - Mamalia terbesar di darat iaitu gajah juga mempunyai kebolehan untuk berenang jauh dalam air menggunakan belalainya untuk bernafas di permukaan namun peluang untuk menyaksikan haiwan itu berenang adalah sesuatu yang jarang diperoleh.
Bagi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), pengalaman mereka terserempak dengan seekor gajah jantan yang sedang berenang di sebuah tasik di Tanjung Mentong, Taman Negara Terengganu membuatkan ramai netizen kagum.
Pihaknya turut berkongsi video tersebut di Twitter rasminya yang kini telah di ditonton lebih 116,900 tontonan, diulang kongsi 6,100 netizen dan menerima 6,900 tanda suka setakat jam 4 petang ini.
Video gajah sedang berenang berdurasi 2 minit 2 saat menarik perhatian ramai.
"Semasa kakitangan Perhilitan melakukan rondaan penguatkuasaan di Tanjung Mentong, Taman Negara Terengganu, terdapat seekor gajah jantan sedang berenang merentasi tasik.
"Kakitangan Perhilitan telah mengiringi gajah tersebut sehingga ke tebing bagi memastikan keselamatannya," kata Perhilitan.
Pada hantaran sama, Perhilitan juga memberitahu, gajah merupakan perenang yang sangat hebat ketika di dalam air.
"Kita mungkin berfikir, gajah akan tenggelam sebaik sahaja mereka masuk ke dalam air kerana saiz tubuhnya yang besar dan berat.
"Namun gajah adalah perenang yang sangat hebat! Ketika di dalam air, gajah dapat berenang dan menggunakan belalai mereka untuk menyelam dan bernafas," katanya.
Netizen menyifatkan perkongsian video itu sangat mengujakan selain ia petunjuk bahawa tasik itu masih menjadi lokasi habitat semula jadi mamalia itu.
"Seronoknya tengok haiwan-haiwan bebas macam ni... saya minta kita semua jaga alam sekitar kita dan cintailah alam," kata @erulnyyzam.
Kata @PakAndaak, "Gajah berendam tu biasa. Tapi gajah berenang bukan perkara yang biasa bagi gajah. Jadi mereka 'escort' untuk pastikan gajah ni selamat."
Semasa kakitangan PERHILITAN melakukan rondaan penguatkuasaan di Tanjung Mentong, Taman Negara Terengganu, terdapat seekor gajah jantan sedang berenang merentasi tasik. Kakitangan PERHILITAN telah mengiringigajah tersebut sehinggake tebing bagi memastikan keselamatannya. pic.twitter.com/QGUFYGaMun
— Jabatan PERHILITAN (@PERHILITAN) February 10, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!