UPNM perlu cari penyelesaian terbaik pulih semula nama

Semua pihak termasuk pengurusan UPNM diharap membuka mata dan berani mengubah senario kes buli supaya institusi pendidikan dan pertahanan negara tersebut kembali disegani seluruh warga Malaysia - Gambar hiasan
Semua pihak termasuk pengurusan UPNM diharap membuka mata dan berani mengubah senario kes buli supaya institusi pendidikan dan pertahanan negara tersebut kembali disegani seluruh warga Malaysia - Gambar hiasan
A
A
A

KES buli sehingga meragut nyawa seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu masih lagi merah.

Namun, timbul pula dua kejadian buli yang mendatangkan kecederaan dari universiti yang sama, baru-baru ini.

Mangsa mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak yang mana ia kejadian pertama sebelum seorang penuntut dari institusi sama melecur di badan akibat ditekap dengan seterika. Kedua-dua kes itu dilaporkan berlaku angkara pelajar senior.

Berikutan dua kejadian yang membimbangkan itu, satu usul tergempar dikemukakan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Parlimen pada Isnin. Beliau menggesa satu penyelesaian tuntas dilaksanakan bagi menamatkan edisi buli dan dera dalam UPNM.

Dalam perkongsian di laman X rasminya, Syed Saddiq menggambar bahawa buli sudah sistemik dan dinormalisasikan di UPNM. Beliau memohon Dewan Rakyat membahaskan suatu usul membabitkan ‘adat membuli’ yang membarah di institusi itu.

Dakwaan itu menggambarkan bahawa UPNM umpama bom jangka dan ambang maut kepada bakal pelajar yang juga penyambung legasi pertahanan negara.

Sekiranya UPNM masih tidak melaksanakan alternatif menjernihkan semula nama institusi itu, adakah masih ada ibu bapa yang rela menghantar anak-anak mereka belajar di situ?

UPNM perlu berdiri gah kerana ia sebuah institusi pendidikan eksklusif menghasilkan para pejuang yang bukan sahaja sanggup bermatian untuk negara tetapi berilmu. Produk yang dihasilkan universiti itu juga selari dengan keperluan semasa.

Artikel Berkaitan:

Namun, jika kes buli dan dera sehingga maut tidak diselesaikan dengan pantas, dibimbangi institusi itu akan hanya tinggal nama satu hari nanti.

Para pelajar yang memburu tempat di menara gading sudah tidak rela memperjudikan nyawa mereka untuk belajar di institusi itu walau mempunyai semangat juang yang tinggi mempertahan negara.

Diharapkan, semua pihak termasuk pengurusan UPNM sendiri membuka mata dan berani mengubah senario itu supaya institusi pendidikan dan pertahanan negara tersebut kembali disegani seluruh warga Malaysia.

Kita tidak mahu insiden yang menimpa Allahyarham Zulfarhan berulang, sekali gus mencemarkan nama dan reputasi UPNM sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!