Sakit hati diejek 'gendut', penjual makanan bunuh wanita
JAKARTA - Seorang penjual makanan hilang pertimbangan apabila tergamak membunuh seorang wanita hanya kerana sakit hati diejek gemuk oleh mangsa.
Kejadian pembunuhan berlaku di sebuah hotel di Jalan Mpu Tantular, Semarang pada 7 November lalu.
Suspek dikenali sebagai Eko Prasetyo, 22, mengakui hatinya tergores selepas mangsa dengan nada tinggi mengatakan bahawa dia seorang yang gendut.
Eko kemudiannya mencekik mangsa sehingga meninggal dunia sebelum sempat menyembunyikan mangsa di bilik mandi hotel.
Selepas kejadian itu, Eko melarikan diri, bagaimanapun dia berjaya ditahan oleh polis pada 10 November ketika sedang minum kopi di Terminal Boyolali.
Ketua Polis Semarang, Komber Irwan Anwar yang mengesahkan penangkapan berkenaan berkata, Eko akan didakwa di bawah Pasal 338 KUHP mengenai pembunuhan.
"Dia terjerat hukuman di bawah Pasal 338 KUHP atau 365 ayat 3 dengan ancaman hukuman penjara 15 tahun," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!