[VIDEO] Empat penjenayah warga Vietnam maut ditembak polis

A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat lelaki warga Vietnam disyaki terbabit dalam 44 kes tebuk peti besi sejak 2018 maut dalam insiden berbalas tembakan di tingkat 17 sebuah unit residensi di ibu kota pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sepasukan anggota polis menyerbu unit kediaman itu pada jam 11.30 malam.

Empat lelaki warga Vietnam maut dalam insiden berbalas tembakan di sebuah unit residensi di ibu kota pada Selasa.
Empat lelaki warga Vietnam maut dalam insiden berbalas tembakan di sebuah unit residensi di ibu kota pada Selasa.

"Kesemua suspek berusia 40-an itu didapati cuba melepaskan tembakan ke arah pihak polis dalam Operasi Tebuk (Op Tebuk) itu.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan dalam usaha mempertahankan diri," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.

Datuk Rusdi Mohd Isa
Datuk Rusdi Mohd Isa

Rusdi berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang digunakan untuk menyerang pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai sering keluar dan masuk ke negara ini.

"Mereka sudah mengaut RM4.3 juta hasil daripada jenayah pecah rumah serta pecah pejabat dengan menebuk peti besi di premis yang menjadi sasaran mereka," ujarnya.

Beliau berkata, kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah yang terbaharu pada dua hari lalu di Sri Hartamas, di sini, sebelum menyembunyikan diri di lokasi yang diserbu malam Selasa.

"Kita juga percaya mereka menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri," katanya.

Rusdi berkata, daripada siasatan polis mendapati suspek yang mempunyai pasport itu sangat berbahaya dan sangat sukar untuk ditahan kerana kelicikan mereka.

Empat lelaki warga Vietnam maut dalam insiden berbalas tembakan di sebuah unit residensi di ibu kota, pada Selasa.
Empat lelaki warga Vietnam maut dalam insiden berbalas tembakan di sebuah unit residensi di ibu kota, pada Selasa.

"Penjenayah itu melakukan jenayah pada waktu malam dan tidak meninggalkan kesan.

"Walaupun wajah mereka dapat dirakam pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun agak sukar untuk dikenal pasti disebabkan mereka warga asing," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut kini sedang diteruskan baki mengesan saki-baki kumpulan berkenaan dan juga dalam proses melengkapkan siasatan atas jenayah yang dilakukan mereka.

"Mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!