Tunggang motosikal lawan arus elak ditahan JPJ

Antara penunggang motosikal yang diperiksa menerusi operasi di Plaza Tol Petaling Jaya, Lebuhraya Damansara- Puchong di sini pada Selasa.
Antara penunggang motosikal yang diperiksa menerusi operasi di Plaza Tol Petaling Jaya, Lebuhraya Damansara- Puchong di sini pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Sanggup menggadai nyawa semata-mata mengelak daripada ditahan pihak berkuasa. Itu tindakan beberapa penunggang motosikal yang melawan arus untuk meloloskan diri ketika operasi di Plaza Tol Petaling Jaya, Lebuhraya Damansara- Puchong di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, tindakan itu gagal apabila mereka kemudiannya ditahan anggota Unit Peronda Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ0 tidak jauh dari lokasi sekatan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan bermula jam 8 malam hingga 11 malam melibatkan seramai 58 pegawai dan anggotanya, 11 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), serta empat kakitangan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak).

Antara penunggang yang ditahan ketika operasi di Plaza Tol Petaling Jaya, Lebuhraya Damansara- Puchong di sini pada Selasa.
Antara penunggang yang ditahan ketika operasi di Plaza Tol Petaling Jaya, Lebuhraya Damansara- Puchong di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan menerusi operasi ini melibatkan 631 buah motosikal dan sebanyak 159 buah motosikal diambil tindakan membabitkan 295 kesalahan yang dikesan.

"Kesalahan tertinggi direkodkan melibatkan tiada lesen memandu sebanyak 122 kes, cukai jalan tamat tempoh (65), tiada insurans (38) serta pelbagai kesalahan teknikal (32 kes).

"Selain itu, turut direkodkan menerusi operasi ini adalah kesalahan melibatkan nombor pendaftaran (19), lain-lain kesalahan (11) dan kesalahan melibatkan sembilan kesalahan utama (tujuh)," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Azrin berkata, sebanyak 3,855 notis saman dikeluarkan sepanjang Operasi Khas Motosikal melibatkan 286 lokasi seluruh negeri ini serta penugasan seramai 325 pegawai dan anggota JPJ Selangor sejak 1 November lalu.

"Pemeriksaan melibatkan sebanyak 19,362 motosikal itu merekodkan kesalahan tertinggi melibatkan teknikal seperti ubah suai ekzos, komponen sebanyak 1,644 kes diikuti tiada cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh (983) serta tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh (737).

"Selain itu, turut direkodkan kesalahan melibatkan nombor pendaftaran (302), lain-lain kesalahan (155) serta beberapa kesalahan utama (34)," katanya.

Azrin (kiri) melihat pemeriksaan yang dilakukan terhadap penunngang yang diperiksa.
Azrin (kiri) melihat pemeriksaan yang dilakukan terhadap penunngang yang diperiksa.

Jelas beliau, kesalahan teknikal ini dilihat antara yang popular dikesan sepanjang operasi khas motosikal ini.

"Kesalahan teknikal ini antaranya ubah suai ekzos, lampu dan beberapa komponen lain, dilakukan dengan alasan kononnya menunjukkan 'kecantikan' motosikal kepada rakan-rakan.

"JPJ percaya antara faktor berlakunya ubah suai ini adalah terpengaruh dengan rakan-rakan selain mempercayai ia dilakukan untuk menambah kelajuan ketika menunggang," katanya.

Tambahnya, operasi dijalankan ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal.

"JPJ menfokuskan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana penunggang motosikal yang melanggar peraturan ditetapkan.

"Semua pengguna jalan raya diingatkan sentiasa peka serta bertolak ansur ketika memandu atau menunggang di jalan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!