Warga emas diacu pisau di leher, disamun dalam rumah
PASIR GUDANG - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki dengan sebilah pisau semasa berada dalam rumahnya di Taman Kota Masai di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada jam 12.57 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 79 tahun berada seorang diri di rumah.
“Ketika kejadian, seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam rumah dan meletakkan sebilah pisau di leher mangsa serta meminta mangsa menyerahkan barangan berharga.
“Kerugian dialami mangsa sebanyak RM2,000. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat selepas menerima aduan kejadian itu, pihak polis berjaya memberkas suspek pada jam 4.30 pagi Selasa.
Jelasnya, suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman selama tujuh hari sehingga 18 November ini.
"Hasil ujian urin yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Kes disiasat dibawah seksyen 392/397 kanun keseksaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!