Israel-Hizbullah berbalas serangan
BEIRUT - Tentera Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke kawasan pinggir bandar selatan Beirut pada Selasa, menyasarkan kawasan yang dikawal oleh Hizbullah.
Serangan ini adalah yang paling sengit sejak Menteri Pertahanan Israel menegaskan tiada gencatan senjata akan berlaku sehingga matlamat Israel tercapai.
Asap tebal memenuhi udara Beirut selepas belasan serangan menyasarkan pinggir bandar selatan sejak pertengahan pagi.
Tentera Israel menyatakan, selepas memberi amaran kepada orang awam di media sosial, serangan ini menyasarkan lokasi Hizbullah di kawasan Dahiyeh dan telah melumpuhkan banyak kemudahan senjata serta peluru berpandu milik kumpulan tersebut.
Tentera Israel menyatakan mereka berusaha mengurangkan kemudaratan kepada orang awam sambil menuduh Hizbullah sengaja beroperasi di kawasan awam untuk menggunakan penduduk sebagai perisai manusia.
Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan oleh Hizbullah.
Di utara Israel, dua orang terbunuh di Nahariya apabila sebuah bangunan kediaman terkena serangan.
Hizbullah kemudian mengaku bertanggungjawab atas serangan dron yang disasarkan ke sebuah pangkalan tentera di timur Nahariya.
Sebuah dron Hizbullah jatuh di halaman tadika di pinggir bandar Haifa, namun tiada kecederaan dilaporkan setelah kanak-kanak dipindahkan ke tempat perlindungan.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sejak permusuhan bermula setahun lalu, serangan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 3,287 orang di Lubnan.
Majoriti kematian berlaku dalam tujuh minggu terakhir, yang tidak membezakan antara orang awam dan pejuang. - Agensi/ Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!