Penunggang motosikal maut nahas tiga kenderaan
JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal maut sementara seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bandar, Pasir Gudang pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Sohaimi Ishak, kemalangan melibatkan sebuah treler jenis Scania dan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yahama LC 135 di laluan berkenaan.
“Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 1.07 petang ketika pemandu treler seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dalam perjalanan dari Jalan Tembaga menghala ke Jalan Nikel telah mengubah haluan ke lorong sebelah kanan kerana mengelak sebuah kereta jenis Proton Wira yang mengalami kerosakan di tepi kiri bahu jalan.
“Keadaan itu membuatkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun telah memberhentikan motosikalnya secara mengejut bagi mengelak lori treler berkenaan.
“Bagaimanapun sebuah lagi motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dari arah arah belakang tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan motosikal Yamaha Y15ZR tersebut,” katanya.
Belaiau berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal Yamaha LC135 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Sementara penunggang motosikal Y15ZR mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri, paha kiri dan pinggang kiri dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail bagi menerima rawatan.
"Kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!