Pelajar UPNM retak tulang dipijak senior: Polis rakam keterangan 13 individu
KUALA LUMPUR - Seramai 13 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes penuntut Tahun Satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kes itu.
"Laporan perubatan masih belum diperoleh, manakala kertas siasatan juga belum lagi diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Ahad, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di universiti itu membabitkan pelatih Tahun Satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Rusdi dilaporkan berkata, ketika kejadian mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam Jumaat lalu, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!