[VIDEO] MRSM elit belum wujud - Rubiah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan ketika ini belum mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) elit yang dikhaskan untuk golongan tertentu.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kesemua 57 buah sekolah yang ditadbir Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu melaksanakan kurikulum standard kebangsaan dan turut menjalankan beberapa program nilai tambah.

Menurutnya, terdapat lima program sistem pendidikan MRSM iaitu Bitara, Ulul Albab, Teknikal, Premier dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Rubiah Wang
Rubiah Wang

“Untuk makluman Yang Berhormat, kita tidak mewujudkan MRSM elit..setakat ini tidak ada, namun begitu pengurusan Mara telah memperkenalkan program yang mana cara kita kategorikan (kemasukan pelajar), ada kaedah kita.

“Tujuan utama penambahan dalam kategori yang saya sebutkan tadi adalah untuk memastikan sistem pendidikan yang kita adakan dalam MRSM itu dalam keadaan yang terbaik dan menjurus dalam bidang- bidang tertentu,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang memintanya menyatakan bilangan dan senarai MRSM elit di negara ini.

Rubiah menambah, dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, pintar dan cerdas, Mara mewujudkan MRSM Bitara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemasukan ke sekolah kategori itu dilakukan mengikut kemasukan skim pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), namun menetapkan kelayakan sekurang-kurangnya 4A.

“Dalam sistem pendidikan Bitara ini, pelajar yang cemerlang dikategorikan dalam satu MRSM. Tidak bercampur dengan pelajar yang lain, maksudnya persaingan (berlaku) antara mereka tetapi kita tidak kategorikan MRSM elit.

“Begitu juga dengan Premier secara keseluruhan mengikut sistem KPM, manakala IGCSE adalah mengikut kurikulum kebangsaan dengan kerjasama Cambridge IGCSE,” katanya.

Ujarnya lagi, Ulul Albab pula menekankan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan juga aliran agama termasuk tahfiz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!