Lupakan memori Subang Jaya, SMK Darul Ehsan bangkit di Bangi
PENGENDALI skuad Bawah 15 (B-15) SMK Darul Ehsan, Norazam Jamaludin mahu pemain-pemainnya untuk melupakan kekecewaan tewas kepada SMK Shah Alam dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih sempena pembuka tirai Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 pada Isnin.
Sebaliknya, Norazam menuntut skuad berpangkalan di Batu Caves itu untuk bangkit menebus kekecewaan dengan meraih keputusan positif berdepan SMK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi dalam aksi Kumpulan A Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15.
"Pemain-pemain perlu melupakan kekalahan kepada SMK Shah Alam dengan bangkit memberikan persembahan terbaik berdepan SMK Jalan Tiga.
"Tiga mata menjadi fokus pasukan dalam misi mencerah peluang mara ke pusingan kalah mati seterusnya, Insya-ALLAH," katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, hasrat SMK Darul Ehsan untuk mencipta kejutan terhadap pasukan pilihan SMK Shah Alam tidak kesampaian biarpun berjaya menyaingi pasukan lawan dari Shah Alam itu apabila tewas 0-2 dalam perlawanan di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia SMK USJ 23, Subang Jaya, pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Norazam berkata: "Alhamdulillah, saya dan barisan kejurulatihan tetap bangga dengan karakter dipamerkan pemain-pemain SMK Darul Ehsan dalam perlawanan ini apabila berjaya menyaingi sebuah pasukan pilihan seperti SMK Shah Alam yang mempunyai pakej lengkap.
"Malah biarpun ketinggalan pemain-pemain tidak mengalah untuk kembali semula dalam perlawanan apabila memberikan tentangan sengit sehinggalah tiupan wisel akhir permainan.
"Selain itu, saya dan barisan jurulatih ucapkan tahniah kepada SMK Shah Alam kerana berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih," katanya.
Anak buah Norazam akan berdepan SMK Jalan Tiga dalam perlawanan Kumpulan A di Padang Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Rabu.
Kejohanan pembangunan bawah 15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan PNSB manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
INFO
PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15
RABU (13 NOVEMBER)
KUMPULAN A
SMK Shah Alam lwn SMK Taman Dato' Haron
(Padang Arena 26, Shah Alam, 3 petang)
SMK Jalan 3 lwn SMK Darul Ehsan
(Padang Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia, 3 petang)
KUMPULAN B
SMK Taman Melawati lwn SBPI Sabak Bernam
(Padang MSN Setiawangsa, 3 petang)
SMK Telok Panglima Garang lwn SMK Syed Mashor
(Padang Awam Sungai Buaya, Banting, 3 petang)
KUMPULAN C
SMK USJ 23 lwn SMK Bandar Tasik Kesuma
(Stadium Mini SMK USJ 23, 3 petang)
SMK Sains Kuala Selangor lwn SMK Tengku Idris Shah
(Stadium Kuala Selangor, 3 petang)
KUMPULAN D
SMK Bukit Kapar lwn SMK Dato' Abu Bakar Baginda
(Padang JSA Arena. Setia Alam, 3 petang)
SMK USJ 8 lwn SMK Seksyen 10 Damansara
(Stadium 3K, SS13 Subang Jaya, 3 petang)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!