'Saya kehilangan sahabat pejuang agama, bangsa dan negara'
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau kehilangan sahabat yang sama-sama berjuang untuk agama, bangsa dan negara susulan kematian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Menurutnya, khabar duka pemergian Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin amat menyedihkan.
"Daim meninggal dunia pagi ini (Rabu). Saya kehilangan sahabat yang bersama saya berjuang untuk bangsa,negara dan agama.
"Saya sedih tidak terhingga. Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada usia 86 tahun dan perkara itu disahkan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Daim serta isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dalam kes mahkamah.
Menurut Gurdial, tokoh politik dan ahli perniagaan itu dimasukkan ke hospital itu sejak dua minggu lalu dan mengalami strok serta diletakkan di unit rawatan rapi baru-baru ini.
Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menzahirkan kekesalan atas kes mahkamah melibatkan Allahyarham.
"Di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab. Tanpa sebab! Kerana dendam. Inikah balasan yang menimpa kerana dendam?,"soalnya.
Sehubungan itu, beliau mendoakan agar Allahyarham Daim mendapat keadilan dan tempat terbaik di sisi ALLAH SWT.
"Ya ALLAH SWT. Adililah Daim berasas keadilan. Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa.
"Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu. Amin, Ya Rabbal Alamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!