GISBH: 'Saya nak bertaubat, mahu tinggalkan ajaran menyalahi Islam' - Mudir
KUALA PILAH - "Saya nak bertaubat, nak kembali kepada ajaran sebenarnya Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya mahu tinggalkan ajaran yang menyalahi agama Islam dan ingin taubat nasuha".
Demikan rayuan seorang mudir sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) selepas mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu atas pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di madrasah terbabit sejak tiga tahun lalu.
Zahanizam Rohan, 51, telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 oleh Hakim, Sabarudin Bidin.
Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tambahan dua bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.
Menurut Sabarudin, hukuman sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan jawatan mudir merupakan jawatan tertinggi sekali gus memastikannya insaf serta bertaubat tidak mengulangi kesalahan itu lagi.
"Mahkamah juga bersetuju dengan hujah pendakwaan yang tujuan pemerintah meletakkan tauliah bagi pengajaran agama untuk menjaga kemaslahatan orang Islam khususnya di Negeri Sembilan agar tidak merosakkan masyarakat serta boleh menjadi salah faham dari segi pemahaman agama," katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar agama Islam berkenaan dengan Tauhid kepada pelajar-pelajar di madrasah di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.
Kesalahan itu dilakukan antara bulan Disember 2021 hingga September 2024.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2009 iaitu mengajar agama tanpa tauliah.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh dalam rayuannya turut memberitahu dia baharu mengajar dua tahun dan sebelum itu bekerja sendiri sebagai pengedar barang-barang sejuk beku.
Tambahnya, pada bulan Januari tahun lalu dia ada membuat permohonan tauliah dengan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan namun masih belum menerima maklum balas.
"Saya sedang menjalani proses pemurnian akidah di pusat pemulihan di Ulu Yam, Selangor bersama seorang isteri dan 12 anak selama tiga bulan yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara(MKN).
"Sebelum ini saya memang ikut ajaran Sunnah Wal Jamaah, tapi bila saya ikut kursus (pemulihan) itu baru saya tahu ajaran sebenar," katanya yang turut memberitahu sudah tidak bekerja selama tiga bulan.
Pendakwa Syarie Kanan, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azrul Izham Jaapar berkata, kesalahan dilakukan tertuduh sudah lama iaitu tiga tahun.
"Sewajarnya tertuduh mengetahui apa-apa bentuk pengajaran berkaitan ajaran Islam hendaklah melalui sistem pentauliahan yang telah ditetapkan oleh pemerintah.
"Ini bagi memastikan bahawa sesiapa yang diajarkan berkaitan agama Islam ini murni dari sudut akidah pembelajaran Islamnya dan tidak terpesong daripada ajaran-ajaran sesat atau salah," katanya.
Tambahnya, hukuman berat dan setimpal perlu dijatuhkan kepada tertuduh bagi memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi sesiapa saja yang tiada tauliah mengajar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!