Trump pilih Elon Musk ketuai Jabatan Kecekapan Kerajaan baharu
WASHINGTON - Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa bilionair Elon Musk akan mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan yang baharu bersama bekas calon presiden Republikan Vivek Ramaswamy, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Trump dalam satu kenyataan di platform Truth Social miliknya memaklumkan bahawa Musk dan Ramaswamy "akan membuka jalan kepada pentadbiran saya merombak birokrasi kerajaan, mengurangkan peraturan berlebihan, memotong perbelanjaan membazir dan menyusun semula agensi persekutuan."
Musk, pengasas Tesla dan SpaceX serta pemilik X, merupakan penderma utama kepada Trump semasa kempen presidennya.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump pada Selasa mengumumkan bahawa hos Fox News dan veteran tentera Pete Hegseth telah dicalonkan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Pertahanan AS yang baharu.
Trump memuji Hegseth sebagai "pahlawan untuk tentera dan negara", menekankan ketegasannya serta kepercayaan kuatnya terhadap dasar "America First."
"Dengan Pete menerajui, musuh Amerika akan diberi amaran," kata Trump dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Trump turut mengesahkan laporan media bahawa Gabenor Dakota Selatan Kristi Noem akan memegang jawatan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS dalam pentadbiran baharunya, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Gabenor dan bekas Ahli Kongres dari Dakota Selatan Kristi Noem akan dilantik untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS). Kristi sangat tegas dalam keselamatan sempadan.
"Beliau adalah Gabenor pertama yang menghantar anggota pengawal kebangsaan untuk membantu Texas menangani Krisis Sempadan Biden," kata Trump dalam satu kenyataan pada Rabu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!