Negara kehilangan 'mutiara' yang tiada galang ganti

Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta pada Rabu.
Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin kerajaan dan pembangkang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pagi Rabu, dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar yang tiada ganti buat negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Daim terkenal sebagai tokoh ekonomi dan politik yang banyak menyumbang kepada pembangunan Malaysia dan memainkan peranan penting dalam usaha menstabilkan ekonomi negara semasa krisis ekonomi pada tahun 1980-an dan 1990-an.

"Dengan kebijaksanaannya dalam urusan kewangan dan ekonomi, Allahyarham berjaya memperkenalkan pelbagai dasar yang membantu memperkukuhkan ekonomi Malaysia.

"Tun Daim juga aktif dalam pelbagai inisiatif pembangunan negara, termasuk sektor hartanah dan kewangan serta tidak henti-henti memberikan sumbangan kepada sektor pendidikan dan sosial melalui yayasan dan aktiviti kebajikan.

"Semoga keluarga Allahyarham diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Insya-ALLAH, sama-sama kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan diberikan kedudukan yang mulia di sisi ALLAH SWT," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Daim sambil mengimbau kenangan bertemu dan berbincang dengannya.

Katanya, Daim adalah orang yang berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang, termasuk dunia korporat, ekonomi dan politik serta mempunyai hubungan yang rapat dengan banyak pemimpin luar negara.

"Saya sentiasa berharap beliau sempat menyiapkan memoirnya kerana tidak ramai orang yang memegang peranan penting seperti beliau dalam satu jangka masa yang lama sejak 1960-an (dan) mempunyai pelbagai kisah untuk diceritakan.

Artikel Berkaitan:

"Semoga keluarga beliau sentiasa tabah dan dipermudahkan segala urusan," katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menzahirkan dukacita dengan khabar pemergian Allahyarham Daim dan mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Toh Puan Nai’mah Khalid serta mendoakan seluruh ahli keluarga tabah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sumbangan besar Allahyarham ketika dua kali menjadi Menteri Kewangan iaitu pada 1984 hingga 1991 dan 1999 hingga 2001 menyaksikan pertumbuhan pesat ekonomi negara.

"Jasa Allahyarham dalam mengurus ekonomi dan membawa Malaysia keluar daripada krisis kewangan Asia ketika itu akan terus dikenang dan kekal dalam lipatan sejarah negara.

"Marilah kita sama-sama berdoa semoga ALLAH merahmati roh Tun Daim dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, insya-ALLAH," katanya.

Turut menzahirkan ucapan takziah, adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Almarhum merupakan mantan Menteri Kewangan Malaysia dan mantan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang sangat besar jasanya kepada negara.

"Semoga Almarhum ditempatkan dalam kalangan para solihin dan dilimpahkan dengan rahmat ALLAH SWT serta kurnia daripada-Nya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan negara hilang sebutir mutiara yang tak ternilai harganya dan tiada galang gantinya.

Katanya, negara kehilangan bukan sahaja seorang pemimpin besar, tetapi salah seorang arkitek utama ekonomi Malaysia ketika ia menjadi 'Harimau Asia'.

"Menggunung jasanya kepada agama, bangsa dan negara terutamanya ketika negara berdepan dengan krisis kewangan 1998, sehingga akhirnya membolehkan Malaysia keluar daripada krisis berkenaan.

"Beliau seorang yang mempunyai visi untuk politik dan ekonomi Malaysia. Beliau pejuang tulen bahkan sehingga ke akhir hayatnya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampuni segala dosa-dosanya," katanya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula berkata, jasa Allahyarham Daim dalam pembangunan dan pengurusan ekonomi negara tidak boleh dipertikai.

Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, jasa Allahyarham dalam evolusi politik negara juga sukar ditandingi.

"Sejak era UMNO dan kemudian Bersatu, gandingan beliau dan Tun Dr Mahathir telah memberi corak kepada lanskap politik Malaysia yang dapat kita lihat hingga hari ini.

"Rehatlah Tun Daim. Jasa Tun tidak sama sekali boleh dipadam. Semoga Tun Daim tenang di alam sana," katanya.

Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada usia 86 tahun dan perkara itu disahkan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Daim serta isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dalam kes mahkamah.

Menurut Gurdial, tokoh politik dan ahli perniagaan itu dimasukkan ke hospital itu sejak dua minggu lalu dan mengalami strok serta diletakkan di unit rawatan rapi baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!