[VIDEO] Dewan Rakyat bertafakur, sedekah Al-Fatihah kepada Tun Daim
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persidangan Dewan Rakyat bertafakur selama seminit bagi menghormati kematian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada pagi Rabu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum itu bangkit memaklumkan mengenai pemergian tokoh politik berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini (ucap takziah) kerana kita dimaklumkan mengenai pemergian seorang tokoh negarawan pagi tadi yang banyak berjasa kepada negara, Allahyarham Tun Daim.
“Maka, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Allahyarham merupakan arkitek ekonomi negara sehingga Malaysia dipanggil Asian Tiger (Harimau Asia).
“Menggunung jasa Allahyarham kepada agam, bangsa dan negara terutamanya ketika Malaysia berdepan krisis kewangan pada 1998,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Daim yang juga tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia dilapor meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta di sini.
Pemergian anak kelahiran Kedah yang pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kerajaan ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad itu disahkan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menambah, Allahyarham merupakan pejuang tulen yang banyak berjasa.
“Bahkan sehingga ke akhir hayatnya (Allahyarham) tetap berjuang demi masa depan negara yang adil dan saksama.
"Saya ingin merakam ucapan takziah ini dan memohon kepada semua yang beragama Islam sedekahkan Al-Fatihah,” katanya selepas selesai sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mengambil maklum mengenai perkara itu dan turut merakamkan ucapan takziah.
"Majlis mesyuarat mengambil maklum dengan pengisytiharan itu, salam takziah bagi keluarga Allahyarham,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!