Tiga individu diberkas jual 'jus' dadah
KUALA LUMPUR - Kegiatan tiga individu termasuk seorang wanita warga Thailand menjual kotak dan botol jus air minuman berperisa dicampurkan pelbagai jenis dadah tumpas apabila mereka ditahan dalam serbuan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan pada jam 11.50 pagi di Sebuah kondominium di Jalan Ampang d sini.
"Polis merampas ganja seberat 1,490 gram, ketamin (250 gram) dan serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (58.73 gram)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada Rabu.
Mohamad Lazim berkata, hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah lagi kondominium di Sungai Besi di sini pada hari yang sama.
"Kita turut menahan seorang wanita warga Thailand dan merampas serbuk MDMA (341.95 gram), pil erimin 5 (36.97 gram), ketamin (55.43 gram), methamphetamine (7.73 gram), pil ekstasi (18.81 gram) dan cecair MDMA (anggaran isipadu 550,000 mililiter)," katanya.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 26 hingga 32 tahun dan disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.
"Mereka juga disyaki menjual kotak air dan botol jus itu di pusat hiburan, harga di luar premis RM1,380 untuk satu karton kotak air dan di dalam premis pula RM1,500.
"Botol jus pula dijual dengan anggaran harga RM380 hingga RM480 di luar premis, manakala harga di dalam premis adalah sebanyak Rm320," katanya.
Mohamad Lazim berkata, anggaran nilai pelbagai jenis dadah yang dirampas itu adalah RM115,122.
"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM50,000 disyaki hasil penjualan dadah tersebut," katanya.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, ketamin, benzo dan thc.
"Suspek yang ditahan juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
"Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!