Adik menyusul 'pergi' selepas lebih sebulan bapa, abang meninggal dunia

Laporan Sinar Harian sebelum ini. Izni Syafiqah (kanan).
Laporan Sinar Harian sebelum ini. Izni Syafiqah (kanan).
A
A
A

KUALA PILAH - Selepas lebih sebulan bapa dan abang 'pergi' menghadap Ilahi akibat kemalangan di Kilometer 21, Jalan Kuala Pilah-Tampin, seorang lagi ahli keluarga yang terlibat nahas sama meninggal dunia pada Isnin.

Izni Syafiqah Abu Zaini, 28, anak keempat daripada lima beradik menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara (IKN) kerana kegagalan fungsi organ kesan daripada kemalangan berkenaan.

Abang sulungnya, Izni Hafizan Abu Zaini, 35, berkata, hampir sebulan Allahyarham dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IKN.

Izni Syafiqah bersama Allahyarham bapa dan abangnya.
Izni Syafiqah bersama Allahyarham bapa dan abangnya.

"Sebelum itu arwah dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan dibawa ke IKN sebab terdapat kesan kecederaan pada saluran pemakanannya.

"Di IKN sahaja ada doktor pakar untuk bahagian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Kuala Johol di sini iaitu perkuburan sama dengan Allahyarham bapanya, Abu Zaini Ibrahim dan adik ketiganya, Izni Syafiq.

"Emak saya sahaja yang selamat semasa kemalangan tersebut dan kini berada di rumah saya di Seremban. Dia patah kaki dan keadaannya beransur pulih.

Artikel Berkaitan:

"Adik bongsu yang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Lendu, Melaka terpaksa tangguh pembelajaran untuk menjaga mak saya sementara waktu," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, perjalanan pulang empat beranak berakhir tragedi apabila dua daripadanya maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh tembok jambatan berdekatan Masjid Jamek Pekan Johol pada 29 September lalu.

Mereka yang maut merupakan bapa, 64 dan anak ketiganya, 31, manakala isteri dan anak keempatnya masing-masing berusia 62 dan 28 tahun mengalami kecederaan parah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!