Pengasuh paling ramai dera budak di Selangor

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasuh merekodkan jumlah tertinggi pelaku jenayah kes penderaan kanak-kanak di Selangor antara Januari sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima sebanyak 387 laporan kes penderaan melibatkan mangsa yang terdiri daripada 139 kanak-kanak berusia bawah 12 bulan, dua hingga lima tahun (96) dan bakinya berusia sehingga 18 tahun.

Beliau berkata, September merekodkan sebanyak 56 kes penderaan sekali gus melibatkan mangsa tertinggi di bawah umur 16 tahun diikuti bulan Ogos sebanyak 43 kes dilaporkan, Julai (42), Februari (40), Januari (37), Mei (35), Jun (33) dan April (22).

"Daripada jumlah itu, pengasuh menjadi pelaku tertinggi penderaan dengan sebanyak 89 kes diikuti ibu bapa kandung dan guru masing-masing 78 kes serta ibu bapa tiri sebanyak 69 kes.

"Statistik merekodkan pelaku kes penderaan ini turut melibatkan murid iaitu sebanyak 56 kes serta jiran iaitu sebanyak 17 kes," katanya.

Hussein (kiri) ketika merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.
Hussein (kiri) ketika merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.

Katanya, hasil siasatan mendapati kebanyakan punca berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan akibat daripada kecuaian.

Artikel Berkaitan:

"Ia merekodkan antara punca tertinggi kepada penderaan selain kurangnya kesedaran terhadap kanak-kanak.

"Faktor sikap pengasuh, penjaga serta ibu bapa itu sendiri yang cuai dan leka misalnya meninggalkan bayi atau kanak-kanak bersendirian sehingga memberikan risiko kepada mangsa," katanya.

Menurutnya, kes melibatkan penderaan kanak-kanak merekodkan sedikit peningkatan namun ia tidak ketara berbanding tahun sebelumnya.

"Peningkatan berlaku susulan pertambahan jumlah penduduk di negeri ini selain Selangor mempunyai jumlah penduduk yang ramai berbanding negeri lain," katanya.

Dalam pada itu Hussein berkata, CIC kedua berkenaan terletak di Balai Polis Seksyen 11 dan beroperasi sejak Mac lalu.

"Penubuhan CIC ini mengambil kira peningkatan jumlah kes melibatkan seramai 875 kanak-kanak yang sudah ditemuga tahun ini membabitkan kes antaranya penderaan, pengabaian dan seksual.

"Bangunan ini menempatkan ruangan serta pelbagai kemudahan serba lengkap antaranya bilik khas temuduga serta rakaman bagi proses siasatan, menyediakan keadaan yang kondusif kepada ibu bapa selain menempatkan ruang menunggu yang selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!