Pemandu kren, penarik kereta didakwa larikan lelaki secara paksa
KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu kren dan dua penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan melarikan secara paksa seorang lelaki, minggu lepas.
Mohd Sabri Zakarya, 42, Muhamad Hafiz Hasbullah, 35, dan Hairudin Sabri Abas, 40, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama melarikan seorang lelaki berusia 53 tahun secara paksa dengan niat supaya orang itu dikurung secara rahsia dan secara salah di tempat letak motosikal di hadapan sebuah bank di sebuah pasar raya di sini kira-kira 2 petang, 7 November lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda.
Pegawai pendakwa Inspektor Ahmad Fitri Mohamed Kamal menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh manakala peguam Ghazali Ismail memohon jaminan rendah atas faktor kewangan ketiga-tiga anak guamnya itu.
Ghazali berkata, Mohd Sabri yang bekerja sebagai pemandu kren dan Muhammad Hafiz serta Hairudin Sabri yang kedua-duanya bekerja sebagai penarik kereta berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dan masih menanggung keluarga masing-masing.
Majistret Noor Mazrinie membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 setiap seorang serta mengarahkan mereka untuk tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!