Warga emas hilang ditemui meninggal dunia
SEPANG - Kehilangan seorang warga emas sejak 8 November lalu terungkai setelah mayatnya ditemui di sungai dekat Kampung Jelutong Indah di sini pada Selasa.
Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan berkaitan kehilangan itu dibuat anak mangsa kira-kira jam 9.51 malam.
"Bapanya yang berumur 76 tahun itu dilaporkan hilang sejak keluar dari sebuah rumah yang beralamat di Kampung Tanjong Mas kira-kira jam 1 petang.
"Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka dibawah kes Orang Hilang bagi menyiasat berkaitan kehilangan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, usaha mencari yang dijalankan kemudiannya menemui mayat mangsa di dalam sungai berdekatan dengan kilang simen Kampung Jelutong Indah, Sungai Pelek pada jam 3.30 petang.
"Siasatan berdasarkan pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat," katanya.
Menurutnya, orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!