Banyak syarikat bincang urus REE di Kelantan - Timbalan MB

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat perlombongan untuk pengurusan industri nadir bumi (REE) di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bagaimanapun pihaknya akan memilih syarikat terbaik untuk tujuan berkenaan.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga mahu semua proses nadir bumi itu dilakukan di Kelantan supaya dapat memberikan keuntungan maksimum.

"Kita tidak mahu perlombongan dilaksanakan di sini tetapi terpaksa mengeksport bahan itu ke luar negara untuk proses seterusnya," katanya selepas Mesyuarat Exco pada Rabu.

Mohamed Fadzli memberitahu, antara syarikat yang sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri ialah Lynas Malaysia Sdn Bhd serta beberapa syarikat besar lain yang dipercayai mampu menguruskan REE.

"Setakat ini kita sedang mengenal pasti pelombong daripada syarikat yang benar-benar mampu serta dapat memberikan tawaran lebih baik," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mahu mewujudkan satu syarikat yang memonopoli pengurusan REE di negara ini.

Justeru, kerajaan akan menggunakan Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Perlembagaan Persekutuan sedia ada dalam aspek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama pihaknya sedang berbincang untuk menilai permintaan syarikat Lynas dari Australia untuk memanjangkan tempoh lesen pemprosesan REE di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!