Suami isteri maut motosikal bertembung lori

Pasangan suami isteri maut setelah motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tun Sri Lanang di sini pada awal pagi Rabu. Foto IPD Kota Tinggi
Pasangan suami isteri maut setelah motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tun Sri Lanang di sini pada awal pagi Rabu. Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Pasangan suami isteri maut setelah motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tun Sri Lanang di sini pada awal pagi Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Mohammad Yusoff Othman, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 6.10 pagi apabila motosikal jenis Honda 110MCSE yang dinaiki pasangan suami isteri warga tempatan berusia 40 dan 33 tahun itu bertembung dengan lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun di simpang berkenaan.

"Kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu lelaki dari arah Kota Tinggi menuju ke arah Sungai Rengit/Johor Bahru itu membelok ke kanan sebelum motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa datang dari arah bertentangan.

"Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, Johor bagi tujuan prosedur siasatan.

"Hasil ujian saringan awal polis terhadap air kencing pemandu lori negatif dan tidak mengandungi sebarang unsur dadah berbahaya.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafizi Said di talian 07-8831222.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!