Malaysia sasar jadi pemimpin serantau dalam kelestarian

Nik Nazmi - Foto: Bernama
Nik Nazmi - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, meletakkan dirinya sebagai pemain global yang bertanggungjawab dalam menangani perubahan iklim walaupun menyumbang hanya 0.8 peratus daripada pelepasan global.

Matlamat tersebut telah diumumkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, menandakan keazaman negara untuk bertindak tegas dalam menjaga masa depannya dan rantau ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menterimya, Nik Nazmi Nik Ahmad menggariskan rangka kerja tindakan iklim yang diperbaharui negara, merangkumi satu siri matlamat bercita-cita tinggi membabitkan penggunaan tenaga boleh baharu serta pengurangan karbon.

Malaysia mahu mencapai 31 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2025 dan 40 peratus pada 2035, katanya.

"Sebagai sebahagian daripada Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) kami di bawah Perjanjian Paris, Malaysia menegaskan semula matlamatnya untuk mengurangkan intensiti karbon dalam keseluruhan ekonomi sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan kami juga dalam proses menetapkan satu lagi sasaran NDC yang bercita-cita tinggi pada 2025.

"Kami bertekad bertindak, tanpa mengira landskap iklim global memandangkan ini adalah perkara yang betul bagi dibuat untuk masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Nik Nazmi memberitahu Malaysia, sebagai sebuah ekonomi Asia Tenggara yang sedang membangun, mempunyai kedudukan unik dalam menyusun semula trajektori ekonominya untuk kelestarian yang lebih besar.

Kerajaan juga telah memajukan beberapa dasar utama untuk mencapai matlamat iklim ini seperti rangka kerja Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030, melalui pendekatan keseluruhan kerajaan bagi mencapai kelestarian.

Artikel Berkaitan:

Menteri itu berkata, di hadapan serantau, Malaysia sedang berusaha untuk mewujudkan grid tenaga ASEAN yang saling bersambung, satu langkah yang akan membantu mengukuhkan keselamatan tenaga di seluruh Asia Tenggara.

"Integrasi ini bukan sahaja akan mengukuhkan keselamatan tenaga serantau tetapi turut melonjakkan hubungan ASEAN dalam usaha global bagi penjanaan dan penggunaan tenaga lestari.

"Selain itu, Malaysia sedang mendahului usaha dalam memajukan kredit karbon melalui Rangka Kerja Pasaran Karbon ASEAN selain menangani cabaran mendesak isu jerebu yang merentas sempadan,” katanya.

Namun, Nik Nazmi menekankan bahawa negara membangun seperti Malaysia tidak boleh memikul beban tindakan iklim secara bersendirian.

Beliau meminta negara-negara maju untuk mengotakan komitmen kewangan mereka terutamanya melalui sokongan pembiayaan, pemindahan teknologi termasuk pembinaan kapasiti bagi memastikan bahawa ekonomi sedang pesat membangun tidak ketinggalan dalam peralihan kepada masa depan yang lestari.

"Negara-negara maju ini tidak sewajarnya menggerakkan tiang matlamat dalam pembayaran hutang iklim,” katanya.

Melihat ke hadapan, Nik Nazmi berkata, Malaysia bersedia mempamerkan komitmennya terhadap kelestarian pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-29 (COP29), yang mana ia merancang untuk menekankan kepimpinannya dalam tindakan iklim.

Selain itu, dengan Malaysia bakal memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, beliau mengulangi matlamat negara untuk menjadi hab pelaburan mesra alam dan mewujudkan pekerjaan hijau berkemahiran tinggi yang akan menyokong masa depan yang mampan kepada negara.

Usaha iklim Malaysia telah pun mendapat sokongan daripada kolaborator global seperti Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) GmbH dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Negara juga telah mendapat kelulusan daripada Dana Iklim Hijau bagi membangunkan Pelan Penyesuaian Kebangsaannya, dengan perundingan pihak berkepentingan telah dijalankan untuk membentuk strategi ketahanan iklim negara.

"Kami sedang bergerak ke hadapan, kami yakin Malaysia boleh menjadi jambatan ke arah masa depan yang lebih makmur dan saksama untuk semua,” katanya lagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!