Graduan UUM buka studio fotografi, raih pendapatan lebih RM10,000 sebulan
SINTOK - Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM) membuktikan keupayaannya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi juga cemerlang sebagai usahawan.
Graduan Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan), Puteri Saidatul Azwa Tun Ali, 25, menerima Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-37 selepas berjaya memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM10,000.
Beliau yang membuka studio fotografi yang dikenali Ptryali Studio di Kuala Kangsar, Perak selepas tamat pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Vokasional menawarkan perkhidmatan fotografi terutamanya bagi majlis korporat, perkahwinan dan aktiviti institusi.
Puteri Saidatul Azwa berkata, beliau memulakan perniagaannya pada usia 18 tahun dengan menjual produk jualan langsung hasil sokongan ibu bapanya dan keuntungan tersebut digunakan sebagai modal untuk membuka Ptryali Studio dan yang kini berjaya menjana pendapatan premium.
“Modal permulaan merupakan salah satu cabaran terbesar kerana saya perlu bijak mengurus kewangan dan mencari alternatif kreatif untuk memastikan aliran tunai mencukupi.
“Persaingan pasaran yang sentiasa berubah juga memaksa saya untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan trend fotografi terkini,” katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada sesi pertama Konvokesyen UUM ke-37 di sini.
Jelas Puteri Saidatul Azwa, sejak menceburi dunia perniagaan, beliau didorong oleh minat mendalam dalam bidang fotografi terutamanya merakamkan kenangan majlis perkahwinan.
Menurutnya, sokongan keluarga dan rakan-rakan juga merupakan tulang belakang yang menguatkan semangatnya terutamanya ketika menghadapi cabaran dalam perniagaan dan pelajaran pada waktu yang sama.
"Bagi menyeimbangkan masa antara belajar dan mengurus perniagaan bukanlah mudah. Sering kali saya terpaksa berkorban waktu rehat dan bersengkang mata.
"Malah, saya perlu berulang-alik ke Kuala Kangsar hampir setiap minggu untuk menguruskan studio fotografi," katanya yang kini mempunyai enam kakitangan.
Puteri Saidatul Azwa juga berkongsi kenangan awal perniagaannya pada tahun 2019, apabila beliau diberi peluang untuk mengambil gambar majlis diraja dan santapan diraja melibatkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim untuk perasmian kilang kelapa sawit.
Meskipun berjaya dalam perniagaan dan akademik, beliau tidak melupakan jasa ibu bapanya serta pensyarah di UUM seperti Profesor Madya Dr Norazlinda Saad CEDI yang banyak membantunya sepanjang berada di universiti.
Beliau yang juga bercita-cita untuk memperluaskan lagi studio fotografi dan membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai selain berharap kejayaannya akan menjadi contoh kepada adik-adik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan berjaya dalam bidang yang diceburi.
"Saya tidak pernah berasa putus asa untuk belajar kerana saya sukakan perkara dan ilmu baru.
"Berniaga dan belajar adalah sesuatu yang seronok bagi saya kerana saya boleh melakukan kedua-duanya sekali. Kedua-duanya adalah untuk masa depan saya dan keluarga," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!