Dua pesawah sertai Persidangan Perubahan Iklim PBB di Baku hujung minggu ini

Ramaness (dua dari kanan) dilihat berbincang bersama Abdullah, (kiri) dan Keria 60, yang berpeluang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP29) di Baku, Azerbaijan hujung minggu ini - Foto: Bernama
Ramaness (dua dari kanan) dilihat berbincang bersama Abdullah, (kiri) dan Keria 60, yang berpeluang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP29) di Baku, Azerbaijan hujung minggu ini - Foto: Bernama
A
A
A

GURUN - Dua pesawah dari Pendang, dekat sini berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai perubahan iklim terutama kepentingan mengurangkan pelepasan karbon apabila, dibawa ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di Baku, Azerbaijan mulai 17 hingga 20 November ini.

Inisiatif membawa Abdullah Mohamad, 58, dan Keria Saad, 60, dilakukan sebuah syarikat bioteknologi, Free The Seed Sdn Bhd di sini yang menaja sepenuhnya kos perjalanan dan penginapan dua pesawah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Free The Seed, P Ramaness berkata, persidangan itu penting untuk memberi pendedahan kepada petani berkaitan perubahan iklim dan kesannya kepada sektor pertanian.

"Saya telah dijemput menjadi penceramah bagi satu program di persidangan itu dan saya mengambil peluang memohon kepada penganjur untuk membawa dua pesawah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keria Saad memberi penerangan dalam sidang akhbar mengenai pengalamannya bersama rakan sekampungnya, Abdullah dari Pendang, yang berpeluang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP29) di Baku, Azerbaijan. - Foto: Bernama
Keria Saad memberi penerangan dalam sidang akhbar mengenai pengalamannya bersama rakan sekampungnya, Abdullah dari Pendang, yang berpeluang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP29) di Baku, Azerbaijan. - Foto: Bernama

Beliau berkata, Abdullah dan Keria diharap meraih sebanyak mungkin pengetahuan sepanjang di Baku nanti untuk dikongsikan kepada petani lain di negeri ini berkaitan kepentingan mengurangkan pelepasan karbon.

Ramaness berkata, pembakaran jerami oleh pesawah antara penyumbang tinggi kepada pelepasan karbon yang harus dikawal.

"Syarikat saya sudah membeli kira-kira 4,500 tan jerami padi sejak 2018 untuk dijadikan produk biodegradasi dan sekali gus mengurangkan pelepasan 610,000 kilogram (kg) karbon dioksida ke atmosfera.

Artikel Berkaitan:

"Di Kedah sahaja saya difahamkan kira-kira 1,080,000 tan jerami dibakar sepanjang dua musim menuai. Jadi kami dapat mengelak sehingga lapan peratus jerami daripada dibakar di negeri ini, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pendang Selatan berkata, beliau berharap dapat memperoleh pengetahuan baharu serta mempelajari inovasi terkini untuk mengurangkan pelepasan karbon.

"Ketika ini PPK Pendang Selatan telah berkerjasama dengan syarikat Free The Seed dengan membekalkan jerami kepada syarikat itu yang kemudian mengeluarkan produk biodegradasi daripada jerami padi.

"Inisiatif Free The Seed ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon akibat pembakaran jerami tetapi juga meningkatkan pendapatan petani melalui penjualan jerami,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!