Harrif ungguli Peringkat 5 LTdL 2020

Harrif (tengah) diapit Walscheid (kiri) dan Pelucchi.
Harrif (tengah) diapit Walscheid (kiri) dan Pelucchi.
A
A
A

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh menampilkan kayuhan bertenaga ketika memenangi Peringkat 5 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Dataran Meru Raya, Ipoh hari ini.

Pada perlumbaan yang meliputi jarak 165.8 kilometer itu, Harrif, 31, menamatkan saingan menerusi pecutan penamat beramai-ramai dengan catatan masa 3 jam 39 minit 42 saat.

Lebih manis, Harrif menewaskan dua pakar pecut - pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid daripada NTT Pro Cycling Team dan pelumba Itali, Matteo Pelucchi (Bardiani CSF Faizane) yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan itu juga menyaksikan Harrif atau lebih dikenali dengan panggilan Mamat mengulangi kejayaannya menaiki podium utama ketika memenangi Peringkat 2 LTdL 2019 dari Senawang ke Melaka.

Harrif (tengah) memecut pantas ketika menuju ke garisan penamat pada perlumbaan Peringkat 5 PETRONAS LTdL 2020 di Ipoh hari ini.
Harrif (tengah) memecut pantas ketika menuju ke garisan penamat pada perlumbaan Peringkat 5 PETRONAS LTdL 2020 di Ipoh hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, bekas rakan sepasukan Harrif yang juga pakar pecut, Anuar Manan mencipta sensasi apabila muncul pelumba Malaysia pertama memenangi peringkat perlumbaan LTdL. Anuar yang ketika itu mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia menjuarai Peringkat 5 LTdL 2010 dari Muar ke Port Dickson.

Dalam pada itu, pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Danilo Celano masih mengekalkan Jersi Kuning PETRONAS selaku pendahulu keseluruhan dengan masa terkumpul 17 jam 48 minit 10 saat 30 saat.

Biarpun sekadar berpuas hati di tempat kedua, Walscheid tetap pulang ceria apabila kekal memiliki Jersi Hijau PETRONAS (Raja Pecut). Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) juga masih disarung Yevgeniy Fedorov daripada pasukan Vino-Astana Motors.

Pelumba muda negara yang mewakili TSC, Muhammad Nur Aiman Zariff pula mengekalkan Jersi Merah (Raja Bukit) apabila mengekalkan kelebihan 14 mata di depan pencabar terdekatnya, Kevin Manuel Rivera Serrano (Androni Giocattoli-Sidermec).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!