[VIDEO] Kabinet lulus projek naik taraf LTAKK - Anthony Loke

A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri meluluskan cadangan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang melibatkan kos RM442.30 juta pada 8 November lepas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek itu dijangka mengambil masa 48 bulan dengan fasa prapembinaan bermula pada tahun ini dan dijadual siap pada 2027.

"Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh inisiatif pembiayaan swasta MAHB tanpa melibatkan jaminan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, projek naik taraf itu melibatkan penambahan kapasiti terminal daripada sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun serta kemudahan baharu seperti pembinaan kawasan bertingkat dan tambahan tujuh ruangan parkir pesawat (apron).

Selain itu, infrastruktur sokongan iaitu penambahbaikan jalan raya sekitar lapangan terbang dan penggunaan teknologi hijau serta adaptasi Teknologi Airport 4.0 dengan mengintegrasikan automasi dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Anthony Loke bercakap pada sidang akhbar mengenai projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Anthony Loke bercakap pada sidang akhbar mengenai projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama

Anthony berkata, LTAKK, lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat kapasiti penumpang 9.4 juta penumpang setahun (mppa), melebihi kapasiti semasa pada 2019.

Beliau berkata, walaupun penurunan dicatatkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19, jumlah penumpang kembali meningkat kepada tujuh mppa pada 2023.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan unjuran, jumlah ini dijangka meningkat kepada 12.4 mppa menjelang 2034. Hingga Oktober 2024, LTAKK telah mencatat jumlah penumpang 6.6 juta, meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023,” katanya.

Anthony berkata, projek menaik taraf LTAKK ialah satu komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur di Sabah bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi bersedia menghadapi permintaan masa depan.

"Saya yakin pelaburan ini bukan sahaja akan memberi pulangan kepada MAHB tetapi juga akan membuka pintu peluang dan kemakmuran untuk rakyat Sabah dan negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!