Beri kesedaran tentang zakat, wakaf kepada orang ramai
KUALA NERUS - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengadakan Program Liqa Mahabbah bersama tenaga pengajar di masjid dan surau di bawah peruntukan MAIDAM bagi memberi kesedaran tentang zakat serta penerangan mengenai sumbangan wakaf kepada orang ramai.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, seramai 300 tenaga pengajar di masjid dan surau dari seluruh Terengganu menyertai program yang diadakan di Dewan Utama Ar Riyadah Residence, Gong Badak di sini, pada Rabu.
"Program diadakan ini melibatkan perjumpaan bersama tenaga pengajar di bawah peruntukan MAIDAM yang menjadi mata telinga kepada MAIDAM.
"Kita harap sesi itu dapat dilaporkan tentang isu-isu semasa berkaitan aduan serta maklumkan kepada kita untuk selesaikan masalah yang berlaku.
"Kita juga mahu tenaga pengajar ini memberi kesedaran tentang zakat kepada orang ramai, ceritakan tentang agihan zakat oleh MAIDAM dan cara memohon zakat selain melaporkan tentang asnaf melalui sahabat MAIDAM," katanya.
Beliau ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Liqa Mahabbah bersama tenaga pengajar di bawah peruntukan MAIDAM yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, pihaknya turut memberi kesedaran tentang sumbangan wakaf kepada orang ramai menerusi program perjumpaan bersama tenaga pengajar tersebut.
"Kebanyakan ada di antara masyarakat ini tidak faham tentang wakaf. Jadi kita mahu memberi penerangan tentang sumbangan wakaf.
"Sumbangan wakaf ini sebagai usaha memberi perubahan dan peluang kepada pihak yang memerlukan iaitu menerusi sektor pendidikan, kesihatan dan perubatan serta korporat," ujarnya.
Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, dana wakaf yang terkumpul digunakan untuk membantu golongan asnaf terutama dalam sektor kesihatan.
"Setakat ini kita mempunyai Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu yang dapat dimanfaatkan oleh pesakit buah pinggang di negeri ini.
"Kita harap usaha ini dapat membantu meringankan bebanan golongan asnaf bagi membiayai kos rawatan yang semakin tinggi sekali gus ikhtiar kita dalam membantu ummah golongan memerlukan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!