MTL: APM tingkat rondaan pantai
KOTA BHARU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meningkatkan rondaan di kawasan pantai tumpuan pelancong bagi memastikan keselamatan pengunjung pada musim Monson Timur Laut (MTL) di negeri ini.
Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, pantai-pantai berkenaan ialah Pantai Geting di Tumpat, Pantai Irama di Bachok, Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu dan Pantai Tok Bali, Pasir Puteh.
“Setiap lokasi terdapat menara Penyelamat Pantai yang menempatkan empat anggota APM bertugas pada satu-satu masa.
“Mereka akan melakukan rondaan menjelang MTL dan lebih kerap selain turut menggunakan pendekatan menghampiri pengunjung untuk memberikan peringatan supaya berjaga-jaga ketika berada di pantai semasa musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, pengunjung juga diharap peka pada isyarat bendera merah yang akan dinaikkan berhampiran menara jika ombak tinggi dan angin kuat kerana keadaan berbahaya.
“Sekarang ini, kita berwaspada dan melihat situasi ombak, jika tinggi kami akan naikkan bendera merah.
“Kami juga akan merujuk ramalan teknikal melalui Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa untuk persediaan dan langkah keselamatan,” katanya.
APM seterusnya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan situasi semasa ombak di pesisiran pantai lebih-lebih lagi kanak-kanak yang bermain di gigi air.
“Perhatikan dan waspada jika cuaca hujan dan ribut terutama pada sebelah petang.
“Ombak tinggi bahaya untuk sebarang aktiviti orang awam di pantai selain angin kuat juga boleh mengakibatkan pokok tumbang,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!