Tiga lelaki ditembak mati dalam perjalanan lakukan jenayah

Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api yang ditemui di lokasi kejadian.
Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api yang ditemui di lokasi kejadian.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tiga ahli sindiket penyeludupan senjata api, curi kenderaan pacuan empat roda dan pecah rumah maut selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Changkat, Pulau Burung di Nibong Tebal pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dengan tertumpasnya sindiket tersebut, polis berjaya menyelesaikan 33 kes curi kenderaan dan curi kenderaan yang kebanyakan dilakukan di Pulau Pinang dengan anggaran kerugian RM4 juta.

Menurutnya, tiga lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 30 hingga 42 tahun itu bergiat aktif dalam kegiatan jenayah tersebut sejak awal tahun ini.

Mengulas mengenai kejadian pada jam 5.30 pagi itu, Hamzah berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan yang sedang menjalankan tugas operasi cegah jenayah telah terserempak dengan dua buah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai sedang dalam perjalanan untuk ke lokasi sasaran bagi melakukan kegiatan jenayah mereka.

"Ketika pasukan polis menghampiri kereta jenis Perodua Myvi dan Honda Accord yang dinaiki suspek untuk memperkenalkan diri, suspek secara tiba-tiba telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis.

"Bagi mempertahankan diri, polis turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek menyebabkan ketiga-tiga lelaki tersebut maut di lokasi kejadian," katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Rabu.

Tambah beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai sepucuk pistol semi-auto, sepucuk revolver dan 94 peluru jenis 9mm Luger A USA dan D621101.

Artikel Berkaitan:

"Turut temui dua bilah parang, sebatang kuku kambing, sebatang tukul besi, set peralatan elektronik untuk mencuri kenderaan serta pelbagai peralatan untuk pecah rumah.

"Semakan mendapati, kereta Honda Accord masih dilaporkan hilang bersangkut laporan di Seri Kembangan manakala Perodua Myvi tiada rekod hilang," katanya.

Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati dalang sindiket berkenaan berusia 42 tahun dan mempunyai 35 rekod jenayah dan enam rekod dadah sementara suspek kedua mempunyai enam rekod dadah.

"Suspek ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri. Sindiket ini akan mencuri kenderaan pacuan empat roda dan menyeludup ke negara jiran untuk dijual.

"Kegiatan mencuri kenderaan ini kenanyakannya tertumpu di Pulau Pinang. Mereka tiada pekerjaan tetap dan hubungan antara mereka hanya rakan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!