Padah bina struktur haram atas tanah rizab MPKL
KUALA LANGAT - Kedegilan seorang individu menaikkan binaan atas tanah rizab milik Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kawasan perumahan di Bandar Saujana Putra sejak dua tahun lalu mengundang padah apabila struktur berkenaan dirobohkan pada Selasa.
Yang Dipertua MPKL, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, operasi perobohan itu dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi melibatkan seramai 10 anggotanya.
"Semakan mendapati struktur itu dibina sejak tahun 2022 dan Pejabat Cawangan Bandar Saujana Putra telah mengeluarkan notis pada tahun yang sama dan notis berikutnya turut dikeluarkan kepada individu terbabit pada 2024 untuk memindahkannya.
"Bagaimanapun individu itu didapati gagal mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan, susulan itu satu operasi perobohan dijalankan melibatkan struktur berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, struktur binaan ini dirobohkan menggunakan jentera Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) MPKL.
"Perobohan dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang sitaan serta tanpa sebarang kompaun dikeluarkan.
"Selain itu kerja-kerja ini turut melibatkan kawalan keselamatan anggota polis dari Balai Polis Bandar Saujana Putra," katanya.
Menurutnya, mana-mana pemilik kediaman yang membina sebarang struktur pembinaan haram diingatkan agar mengikut arahan yang dikeluarkan MPKL.
"Ini bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dibawa ke mahkamah.
"Masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan MPKL," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!