Fadillah, Zahid rakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Daim
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin atas pemergian bekas Menteri Kewangan itu yang meninggal dunia pagi tadi.
Fadillah berkata, walaupun beliau secara peribadi tidak pernah berkhidmat dalam kerajaan bersama Allahyarham, namun berdasarkan perkembangan yang diikutinya, beliau pasti banyak khidmat bakti yang dicurahkan Allahyarham semasa menjadi menteri kabinet.
"Kita ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga mereka diberi ketabahan dalam menghadapi masa yang sukar ini,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham selepas memberi penghormatan terakhir.
Fadillah yang tiba di kediaman itu pada 1.30 tengah hari telah meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Fadillah berkata, Allahyarham memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia pada era 1980-an dan 1990-an, dan kebijaksanaan Allahyarham telah membantu dalam memulihkan ekonomi negara.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.
Allahyarham Daim memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan kali kedua pada 1999-2001.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi menerusi laman Facebook turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham sambil mendoakan mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang besar ini.
"Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkannya di dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!