Jenazah Tun Daim tiba di masjid untuk disolatkan
KUALA LUMPUR - Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga serta sahabat handai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin pada Rabu.
Solat jenazah yang dilaksanakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini jam 4.40 petang menyaksikan lebih 1,000 orang hadir menunaikan fardu kifayah tersebut.
Anak saudara Allahyarham, Ali Imran memimpin solat jenazah dan imam Masjid Wilayah Persekutuan membacakan doa.
Isteri Allahyarham, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid bersama ahli keluarga dilihat mengesat air mata dan menahan kesedihan sejak jenazah tiba di masjid sekitar jam 3.40 petang.
Selesai solat jenazah, van membawa Allahyarham mula bergerak ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1, dekat sini, sekitar jam 5.00 petang.
Pemimpin kerajaan dan pemimpin pembangkang turut hadir memberi penghormatan terakhir di masjid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!