Warga emas rugi RM136,000 terpedaya tawaran perniagaan dalam talian

Seorang lelaki warga emas kerugian RM136,000 setelah terpedaya dengan penipuan perniagaan dalam talian - Gambar hiasan
Seorang lelaki warga emas kerugian RM136,000 setelah terpedaya dengan penipuan perniagaan dalam talian - Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang lelaki warga emas kerugian RM136,000 setelah terpedaya dengan penipuan perniagaan dalam talian, kata Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili.

Beliau berkata, mangsa berusia 60-an dan tidak bekerja terjerat selepas menekan pautan di laman Facebook pada 9 Okt lepas yang membawa ke satu platform e-dagang menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Mangsa ditawarkan peluang perniagaan menjual barangan kosmetik berjenama secara eksklusif dalam talian dengan syarat memberikan modal terlebih dahulu untuk meraih keuntungan.

"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju dan kemudian diminta memuat turun satu aplikasi untuk pengesahan jualan serta penambahan modal bagi stok barangan jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dari 13 Oktober hingga 7 November, mangsa telah melakukan 32 transaksi pemindahan wang ke 11 akaun bank tempatan atas arahan suspek kononnya untuk menambah stok barangan.

Pada 10 November, mangsa diberitahu bahawa aplikasi itu telah dibekukan dan diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM70,000.

"Berasa curiga dan sedar telah ditipu, mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semalam,” katanya dan menambah kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!