Bekas pengurus kanan ditahan kemuka tuntutan palsu, penipuan bernilai RM2 juta
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas kerana disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu dan penipuan bernilai RM2 juta.
Sumber berkata, perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu telah dikeluarkan oleh Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan kira-kira jam 6 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
"Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2019 sehingga tahun ini.
"Suspek disyaki terlibat dan bersubahat untuk memohon serta meluluskan tuntutan palsu syarikat kenalan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan.
"Malah suspek juga bertindak menyeleweng wang syarikat dengan memberikan maklumat dalaman kepada syarikat kenalan tersebut mengenai harga-harga pembida syarikat lain," katanya pada Rabu.
Sumber berkata, suspek juga dipercayai telah menipu syarikat tempat dia bekerja dengan menyalurkan maklumat kepada pihak lain.
Jelasnya, ia berhubung penyaluran maklumat mengenai keperluan perolehan kerja-kerja pembaikan mesin pengeluaran barangan asas yang melibatkan jumlah kira-kira RM2 juta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!