Jenazah Tun Daim selamat dikebumikan
KUALA LUMPUR - Jenazah Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, 86, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, kira-kira jam 6.06 petang pada Rabu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.21 pagi di Hospital Assunta,Petaling Jaya akibat strok dan diletakkan di unit rawatan rapi sebelum jenazah dibawa keluar dari hospital berkenaan kira-kira jam 11.02 pagi untuk disempurnakan di kediamannya di Bukit Tunku.
Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan selepas solat asar.
Upacara pengebumian Allahyarham turut dihadiri menteri Kabinet, pemimpin tertinggi negara, pegawai kerajaan dan juga pimpinan politik.
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Daim memainkan peranan besar dalam membantu Malaysia mencapai pembangunan pesat dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang fokus kepada pengindustrian dan eksport.
Di bawah kepimpinannya sebagai Menteri Kewangan, Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan beberapa pembaharuan dalam sektor kewangan serta pelaburan infrastruktur.
Beliau juga terkenal dengan pendekatan pragmatik dalam pengurusan kewangan negara dan dikenali sebagai seorang tokoh yang berdedikasi dalam menggalakkan pembangunan ekonomi.
Di luar politik, Daim terlibat dalam pelbagai perniagaan dan pelaburan serta dianggap sebagai salah satu individu yang berpengaruh dalam dunia korporat di Malaysia.
Beliau juga diketahui bersikap lantang dalam menyuarakan pendapatnya tentang isu-isu nasional, terutamanya dalam bidang ekonomi.
Walaupun telah bersara daripada politik aktif, Daim masih memainkan peranan penting dalam memberi pandangan terhadap polisi-polisi ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!