Bank Muamalat, CGC lancar Skim Jaminan Portfolio-i Halal dengan dana RM70 juta

Khairul Kamarudin (kanan) menyaksikan majlis menandatangani pelancaran Skim Jaminan Portfolio-i Halal
Khairul Kamarudin (kanan) menyaksikan majlis menandatangani pelancaran Skim Jaminan Portfolio-i Halal
A
A
A

BANK Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) melancarkan Skim Jaminan Portfolio-i Halal berjumlah RM70 juta bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Bank Muamalat dalam satu kenyataan berkata, skim tersebut menyediakan kemudahan pembiayaan patuh syariah dan merangsang pertumbuhan ekonomi dalam industri halal.

"Perkongsian ini mencerminkan komitmen untuk menyokong pertumbuhan ekonomi halal sebagai sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

"Skim Jaminan Portfolio-i bernilai RM70 juta direka secara strategik untuk menawarkan pembiayaan yang boleh diakses dan berpatutan kepada perniagaan dalam pelbagai sektor,"katanya pada Rabu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin memberitahu, skim itu mencerminkan komitmen mereka untuk memperkasakan perniagaan kecil dan mikro di Malaysia.

Jelasnya, ia juga sebagai usaha menyahut seruan kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk menyokong PKS yang mewakili hampir 97 peratus daripada semua pertubuhan perniagaan di negara ini.

"Bank Muamalat telah menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi dengan pelbagai inisiatif termasuk penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan dan membantu PKS untuk terus berkembang maju dalam pasaran kompetitif.

"Menerusi kerjasama ini, kami menyasarkan untuk meningkatkan akses pembiayaan dan menyediakan peluang untuk terus berkembang sambil mematuhi prinsip kewangan Islam.

Artikel Berkaitan:

"Program ini adalah sebahagian daripada strategi kami yang lebih luas untuk menyokong ekonomi negara dan menyumbang kepada pembangunan perniagaan mampan,"ujarnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak pula berpendapat, Bank Muamalat dan CGC boleh menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan PKS Malaysia yang kompetitif apabila menyediakan penyelesaian pembiayaan komprehensif untuk perbelanjaan operasi, pelaburan modal dan kos pensijilan halal.

Jelasnya, dalam perniagaan halal, perkongsian strategik sangat penting sejajar dengan agenda negara untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran halal global.

"Skim Jaminan Portfolio-i yang dilancarkan hari ini terbuka kepada pelbagai industri termasuk pembuatan, peruncitan, perkhidmatan dan sektor berkaitan halal.

"Syarat pembiayaan direka bentuk untuk menjadi fleksibel dengan tempoh maksimum sehingga tujuh tahun bagi PKS dan tiga tahun mikro PKS.

"Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Jaminan Portfolio-i Halal dan prosedur permohonan,pelanggan boleh melayari www.muamalat.com.my atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!