Industri perhotelan negara rugi RM40 juta akibat koronavirus

Tan Kok Liang
Tan Kok Liang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengesahkan sebanyak 95,000 tempahan hotel telah dibatalkan sehingga menyebabkan industri itu mengalami kerugian sebanyak RM40 juta sejak wabak koronavirus muncul.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, majoriti pembatalan tempahan itu adalah pelancong daripada China selepas pemerintah negara itu menghalang agensi pelancongan membawa rakyat mereka ke Malaysia.

“Ini adalah benar. Kebanyakan pembatalan tempahan ini adalah daripada pelancong China," katanya pada pada sidang akhbar mengumumkan pelaksanaan Pameran MATTA Cuti Cuti Malaysia di sini hari ini.

Pameran MATTA Cuti Cuti Malaysia akan diadakan pada 4 hingga 5 April depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan penyertaan lebih 200 pempamer.

MATTA turut mengumumkan pemberian diskaun 40 peratus sewa kepada pempamer yang menyertai pameran berkenaan.

Sementara itu, persatuan turut mengumumkan penundaan Pameran MATTA yang sepatutnya berlangsung Mac ini kepada 1 hingga 3 Mei depan.

Dalam pada itu, Kok Liang berkata, larangan penerbangan dari China turut memberi impak kepada industri pelancongan kerana rakyat dari negara itu menyumbang sebanyak 13 peratus daripada jumlah pelancong ke negara ini.

"Komen-komen berita negatif mengenai wabak ini juga menyebabkan pelancong dari negara lain untuk datang ke Malaysia. Kami bimbang mereka menganggap negara ini juga tidak selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kok Liang meminta supaya kerajaan menyegerakan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu industri pelancongan.

Katanya, kesan penularan virus itu terhadap sektor pelancongan negara mula dilihat dengan kehadiran pelancong merosot di bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Saya menggesa kerajaan supaya segera laksana pakej rangsangan ini. Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia.

“Saya difahamkan kerajaan akan mengkaji dan membuat keputusan namun seperti saya katakan, jika berjalan di bandar utama anda akan dapat lihat kurangnya pelancong asing di sini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!