Tanah runtuh di Jalan Besar Tanah Rata-Ringlet
CAMERON HIGHLANDS - Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Kilometer 54, Jalan Besar Tanah Rata-Ringlet di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah itu menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, terdapat satu kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di lokasi terbabit.
"Walau bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dan kerja-kerja pembersihan telah dilakukan dan laluan telah dibuka kepada semua kenderaan," katanya pada Rabu.
Ujarnya, orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.
Jelas beliau, sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ringlet bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Operasi pembersihan dilakukan menggunakan seunit gergaji rantai serta melakukan pemeriksaan di lokasi dan memastikan keadaan terkawal.
"Operasi pembersihan turut dibantu oleh pihak kuari berhampiran dengan menggunakan jentolak sawa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!