Polis tahan pemandu treler bawa muatan kontena
BUKIT MERTAJAM - Polis menahan pemandu treler kontena yang terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kereta dan sebuah lori di Jalan Kebun Sireh di sini pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pemandu treler berusia 51 tahun itu akan direman di Mahkamah Bukit Mertajam pada Khamis.
"Kita telah menahan pemandu treler untuk siasatan lanjut. Tempoh reman akan dipohon di mahkamah esok (Khamis).
"Ujian saringan awal dadah dan alkohol terhadap pemandu itu negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas mengenai kejadian itu, kemalangan tersebut berlaku pada jam 9.30 pagi.
"Kemalangan itu dipercayai berlaku semasa lima buah kereta dan sebuah lori dari Jalan Kebun Sireh berhenti di lampu isyarat simpang tiga Jalan Bukit Tengah.
"Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah treler dari Jalan Bukit Tengah yang membelok ke kiri masuk ke Jalan Kebun Sireh hilang kawalan menyebabkan kontena tersebut telah menghempap dua buah kenderaan yang menunggu lampu isyarat," jelasnya.
Tambahnya, akibat daripada itu, dua buah kenderaan tersebut bergerak ke belakang lalu berlanggar dengan tiga buah kereta lain dan sebuah lori.
"Susulan daripada itu, seorang pemandu wanita maut di lokasi kejadian manakala seorang pemandu lelaki cedera dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.
"Saksi awam yang melihat kejadian tersebut diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah untuk memberi keterangan atau hubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shahid Othman di talian 017-2670543 untuk membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila dihempap kontena yang dibawa sebuah treler dalam kejadian di Jalan Bukit Tengah, di sini pada pagi Rabu.
Kejadian itu melibatkan empat buah kenderaan lain iaitu Perodua Bezza, Toyota Altis, Honda Jazz dan lori muatan tiga tan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Azamuddin Abdullah berkata, mangsa Lee Zi Rou, 21, yang memandu kereta Perodua Bezza maut di lokasi kejadian kerana tersepit dalam kenderaannya.
Selain itu katanya, pemandu kereta Honda Jazz, Tan Chou Theng, 25 cedera selepas didapati tersepit di bahagian pemandu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!