Rakyat Malaysia dibenarkan guna e-Gate Taiwan mulai 7 November
SHAH ALAM - Pihak berkuasa Taiwan kini membenarkan warganegara Malaysia menggunakan sistem pintu automatik (e-Gate) negara itu mulai 7 November lalu.
Kedutaan Taiwan dalam satu kenyataan berkata, ia menjadikan Malaysia negara ketujuh yang menjalinkan kerjasama penggunaan Autogate dengan Taiwan selepas Amerika Syarikat, Korea Selatan, Australia, Itali, Jerman, dan Singapura.
Menurutnya, sebelum ini Malaysia telah melaksanakan sistem pintu automatik (Autogate) untuk warganegara Taiwan bermula 1 Jun 2024.
"Mulai sekarang, pelancong Malaysia yang memenuhi syarat layak menggunakan e-Gate Taiwan untuk keluar dan masuk negara ini. Kami mengalu-alukan semua rakan untuk berkongsi dan menyebarkan berita baik ini kepada orang ramai.
"Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah memiliki pasport cip elektronik dengan tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan, berumur 12 tahun ke atas, berketinggian minimum 140 sentimeter (cm)serta tiada rekod pelanggaran undang-undang di Taiwan.
"Mereka ini boleh mendaftar sekali di kaunter pendaftaran di balai ketibaan (perlu mendaftar semula jika menukar passport baharu pada masa hadapan) dan seterusnya menggunakan e-Gate Taiwan untuk urusan keluar-masuk," katanya pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, rakyat Malaysia hanya memerlukan satu minit untuk mendaftar dan proses pemeriksaan mengambil masa hanya 10 saat seterusya mengurangkan keperluan beratur panjang di kaunter imigresen.
"Berbanding pemeriksaan manual yang memerlukan 10 hingga 25 minit (termasuk masa menunggu), sistem ini secara signifikan mempercepatkan proses pemeriksaan masuk, satu manfaat besar bagi rakyat Malaysia yang melancong ke Taiwan," ujarnya.
Sementara itu, warganegara Taiwan yang berkunjung ke Malaysia dengan pasport cip elektronik yang mempunyai tempoh sah lebih daripada enam bulan dan berketinggian sekurang-kurangnya 120 cm hanya perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (Malaysia Digital Arrival Card – MDAC) secara dalam talian dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan.
"Setelah tiba, mereka boleh menggunakan Autogate Malaysia secara percuma tanpa perlu membuat pendaftaran tambahan," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!