RM12.8 bilion wang tidak dituntut setakat 31 Oktober

Amir Hamzah pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Amir Hamzah pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM17 bilion wang tidak dituntut (WTD) diserahkan syarikat dan firma kepada Jabatan Akauntan Negara dengan RM4.2 bilion daripada jumlah itu telah dituntut empunya yang berhak setakat 31 Oktober lepas.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini berkata, ini menjadikan baki WTD yang masih tidak dituntut berjumlah RM12.8 bilion.

Beliau berkata, sejak 2022, Jabatan Akauntan Negara membuka 184 reruai di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang awam membuat tuntutan WTD.

Amir Hamzah berkata, pihaknya juga akan meneliti cadangan untuk kerajaan melakukan pengesanan pemilik atau waris menggunakan data terkini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya wang berkenaan dapat dikreditkan terus ke dalam akaun mereka.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan bersedia mempertimbangkan cadangan kerajaan Kelantan dan Terengganu berhubung program dan projek yang boleh dibiayai menerusi pemberian wang ihsan terutama dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan menambah baik infrastruktur asas.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan sememangnya memberikan peruntukan pembiayaan untuk projek pembangunan kepada kedua-dua negeri itu yang disalurkan melalui kementerian.

"Ia antaranya merangkumi pelaksanaan projek Lebuh Raya Central Spine Road dan pembinaan loji rawatan air di Kelantan, pembinaan hospital di Terengganu, jalan perhubungan serta menaik taraf sekolah di luar bandar," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!