JDT III juara Piala Presiden 2024
SKUAD Piala Presiden Johor Darul Ta'zim (JDT III) muncul juara Piala Presiden buat kali ketiga berturut-turut biarpun sekadar terikat tanpa jaringan dengan Selangor FC pada aksi final ke-2, Piala Presiden 2024 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sebentar tadi.
JDT III dinobatkan selaku juara hasil kemenangan 2 -1 pada aksi final 1, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 6 November lalu.
Kedua-dua pasukan bermula garang sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan deretan peluang di depan pintu gol lawan bagi meledak jaringan.
Peluang terbaik JDT III untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-10, namun percubaan yang dilakukan sekadar menggegar palang gol walaupun pintu gol terbuka luas.
Minit ke-20 menyaksikan giliran pelawat mencemaskan benteng pertahanan tuan rumah menerusi percubaan kapten, Danish Irfan Ezal, namun dinafikan penjaga gol JDT III, Zulhilmi Sharani yang menepis bola keluar.
Minit ke-41 menyaksikan Danish Irfan sekali lagi berpeluang menjaringkan gol namun ia gagal dimanfaatkan bagi kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju bilik persalinan.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha menjaringkan gol.
Peluang terbaik Selangor FC menjaringkan gol hadir pada minit ke-65 namun tandukan penyerang, Muhammad Harry Danish Mohd Haizan tersasar.
Seminit berselang, peluang buat JDT III menjaringkan gol, namun percubaan yang dilakukan berjaya dikekang benteng pertahanan Selangor FC.
Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terus buntu untuk meledak jaringan dan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan hingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!