Perluasan Skim mySalam manfaat lapan juta rakyat tahun ini
PUTRAJAYA - Skim perlindungan kesihatan masyarakat, mySalam, diperluaskan meliputi 45 jenis penyakit kritikal termasuk polio daripada 36 penyakit kritikal sebelum ini, bermula 1 Januari tahun ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perluasan skim itu juga melibatkan kenaikan had umur kepada 65 tahun berbanding 55 sebelum ini serta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) individu bujang dan orang kurang upaya (OKU).
"Skim itu juga dipanjangkan kepada golongan berpendapatan pertengahan, M40 dengan pendapatan kasar tahunan tidak melebihi RM100,000," katanya.
Beliau berkata, perlindungan itu merangkumi faedah bayaran penyakit kritikal 'one-off' atau sekali sebanyak RM4,000 dan bayaran pendapatan gantian elaun sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari apabila dimasukkan ke hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera.
"Secara keseluruhannya, kerajaan menjangka perluasan skim ini akan membawa manfaat kepada lapan juta individu bagi tahun ini," katanya pada Majlis Perasmian Perluasan Skim mySalam, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya, Dr Lee Boon Chye serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
Skim mySalam sebelum ini menawarkan dua jenis faedah bantuan untuk 36 jenis penyakit kritikal dan penerima akan mendapat bayaran 'one-off' sebanyak RM8,000 serta bayaran pendapatan gantian elaun dimasukkan ke hospital sebanyak RM50 di mana-mana hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau RM700 setahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Skim mySalam hanya untungkan rakyat
Guan Eng berkata, penerima BSH individu bujang dan OKU yang layak boleh membuat tuntutan mulai Mei selepas proses pendaftaran BSH dimuktamadkan.
Bagi individu M40 katanya, proses pendaftaran bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.
Ditanya peruntukan RM2 bilion untuk skim mySalam mencukupi untuk memenuhi tuntutan, Guan Eng berkata, ia lebih daripada mencukupi kerana skim itu bertujuan menawarkan jaringan sosial kesihatan kepada mereka yang menghadapi penyakit kritikal.
Menurutnya, seramai 4.3 juta individu golongan B40 yang tersenarai untuk BSH 2019 yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka, dilindungi di bawah skim mySalam bagi 2019.
"Lebih daripada 9,662 individu telah berjaya menerima faedah bantuan yang berjumlah lebih RM13.7 juta. Daripada jumlah itu, 1,448 individu telah menerima faedah penyakit kritikal dan 8,214 telah menerima faedah elaun dimasukkan ke hospital," kata Guan Eng.
Guan Eng berkata, aplikasi mudah alih mySalam boleh dimuat turun oleh penerima yang layak bagi membolehkan proses tuntutan, semakan status tuntutan dan baki faedah serta mendapatkan maklumat berkenaan skim mySalam dibuat dengan lebih cepat dan mudah.
Guan Eng berkata, usaha menubuhkan dan menaik taraf kiosk-kiosk mySalam di 150 hospital kerajaan di seluruh Malaysia sedang giat dijalankan sebelum akhir tahun ini bagi meningkatkan kesedaran, penyebaran maklumat dan membantu memudahkan proses tuntutan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!