Industri durian: 'Tak adil banding Melayu, bukan Melayu'

Foto hiasan. Gambar kecil: NORDIN
Foto hiasan. Gambar kecil: NORDIN
A
A
A

IPOH - Perbandingan kaum yang dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam industri durian disifatkan tidak adil.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, industri durian di negara ini tidak sepatutnya dijadikan satu jurang di antara bumiputera dengan bukan bumiputera sebaliknya kerajaan perlu memainkan peranan proaktif terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, pengeksportan durian tidak seharusnya dilihat satu-satunya faktor pengusaha Melayu ketinggalan dalam industri itu tetapi segi pengeluaran, golongan bumiputera masih mendominasi.

"Saya mengambil positif kenyataan menteri kononnya Melayu atau bumiputera gagal memanfaatkan eksport durian.

"Sebenarnya saya melihat sepatutnya menteri melakukan sesuatu atau mempunyai dasar lebih baik untuk orang Melayu dalam industri durian, bukan mengeksport durian semata-mata.

"Beberapa dasar yang tidak memihak kepada bumiputera perlu dilihat seperti penganugerahan tanah oleh beberapa kerajaan negeri kepada syarikat tertentu untuk mengusahakan tanaman durian berskala besar.

"Bukan tak ada syarikat bumiputera yang berkemampuan tetapi tidak diberikan peluang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nordin berkata, industri durian perlu dilihat melebihi aktiviti eksport ke luar negara kerana perkara lebih penting adalah usaha meningkat pendapatan pemilik dusun bukan syarikat-syarikat tertentu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aktiviti eksport hanya menguntungkan segelintir pihak dan bukan memberi manfaat kepada majoriti penanam durian yang kebanyakannya merupakan golongan bumiputera.

Jelasnya, mengambil contoh negeri Perak yang cukup terkenal dengan buah durian berkualiti dan pernah menjadi pengeluar utama di negara ini, industri tersebut kian berkembang serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Di daerah Perak Tengah sahaja, terdapat 2,239 orang berdaftar dengan Jabatan Pertanian sebagai pemilik dusun durian melibatkan bilangan pokok sebanyak 167,600 batang di dalam kawasan seluas kira-kira 2,095 hektar dengan pengeluaran semusim 4,297 tan metrik.

"Jika harga purata durian sekitar RM6 sekilogram semusim, jumlah keseluruhan hasil RM26 juta melibatkan durian kampung dan musang king.

"Maka dianggarkan setiap pemilik dusun mempunyai pendapatan RM11,500 orang semusim," katanya.

Menurut Nordin, peluang harus diberikan kepada pengusaha durian bumiputera kerana ada dalam kalangan mereka yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Katanya, memang diakui bahawa terdapat beberapa kekangan untuk pengusaha bumiputera berkembang antaranya termasuklah kekurangan modal dan keluasan tanah yang lebih besar diperlukan.

Jelasnya, bukan isu eksport yang menjadi keutamaan sebaliknya paling penting bagaimana kerajaan mahu menggalakkan penanaman durian untuk menjadi salah satu daripada sumber pendapatan lumayan kepada penduduk kampung.

Beliau berkata, Institut Agro Usahawan (IGrow) antara yang berjaya mempopularkan durian tempatan iaitu Paduka dengan mewujudkan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan pesta durian serta bekerjasama dengan beberapa pihak bagi merancakkan industri durian.

Menurutnya, kerajaan harus mengguna pakai kepakaran tempatan dalam merancakkan lagi industri durian sekali gus menarik minat generasi baharu meneruskan legasi penanaman buah tersebut dengan teknologi terkini.

Pada 11 November, Mohamad ketika berucap di Parlimen mempersoalkan masyarakat Bumiputera gagal untuk memanfaatkan eksport durian yang membawa keuntungan.

Beliau berkata, kebanyakan pengeksport durian yang telah menjadi jutawan adalah daripada kaum Cina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!