Perkukuh RTG agar lebih jelas, kemas
PROGRAM Road To Gold (RTG) yang disasarkan untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik perlu diperkemas dan diperkukuh agar tidak berubah mengikut keperluan semasa tanpa hala tuju yang jelas.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, perkara tersebut penting untuk memastikan ia berjalan mengikut perancangan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Apa sahaja program perlu jelas terutama projek besar seperti RTG. Apa hala tuju yang mahu dicapai. Sudah pasti emas Olimpik. Kita tidak mahu ia berubah-ubah mengikut keadaan.
“Ketika mula dilancar (RTG) sasar emas Paris 2024, namun ketika di pertengahan jalan berubah kepada dua kitaran Olimpik merangkumi LA28 (Los Angeles 2028).
“Perkara ini (sasaran) perlu jelas, kalau kata emas Paris, ia perlu dicapai, tapi sudah gagal. Bagi Olimpik seterusnya perlu lebih terang dan jelas,” katanya kepada Sukan Sinar.
Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan sesi bedah siasat berhubung prestasi atlet negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sesi itu akan diadakan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), jurulatih pasukan, sekretariat kontinjen dan Institut Sukan Negara (ISN).
Sesi tersebut juga akan turut melibatkan National Sports Science University (NSSU), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, wakil universiti tempatan dan persatuan media.
Dr Pekan menjelaskan bahawa RTG juga perlu ada tempoh atau tarikh luput sama ada untuk LA28 sahaja atau berlarutan sehingga Brisbane 2032.
“Perkara ini juga perlu terang. Jika pada LA28 masih gagal dapat emas. RTG boleh dianggap gagal. Ia perlu diteliti dengan rapi daripada pelbagai aspek sebelum hala tujunya dimuktamadkan,” katanya.
Pekan menambah, kriteria pemilihan atlet juga adalah subjektif sama ada 10 terbaik atau 20 teratas dunia kerana potensi untuk meraih podium termasuk emas adalah terbuka ketika pertandingan berlangsung.
“Potensi (emas) antara jenis sukan adalah berbeza. Misalnya badminton, bukan sahaja dalam ranking 10 terbaik, malah pemain yang berada dalam kelompok 20 teratas juga berpeluang raih podium dan emas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!