MyKad, e-dompet sebagai saluran subsidi RON95, apa kata mereka?
KEMENTERIAN Kewangan (MoF) dilaporkan sedang meneliti mekanisme penggunaan MyKad dan e-dompet, berkemungkinan diguna pakai bagi penyaluran subsidi petrol RON95 dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat di negara ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi minyak menggunakan kaedah tersebut sedang diperincikan dan dalam proses untuk dimuktamadkan sebelum bermula pada pertengahan 2025.
Katanya, penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan dengan prinsip yang sama seperti subsidi elektrik dan diesel iaitu melibatkan harga berperingkat atau tiered pricing.
Difahamkan, tujuan utama pelaksanaan bukan untuk membebankan rakyat, sebaliknya ingin mengekang ketirisan dan penyeludupan subsidi yang selama ini dimanfaatkan oleh warga asing dan sektor perniagaan.
Bagaimanapun, timbul pelbagai reaksi orang awam kerana segelintir daripada mereka bersetuju, malah ada juga sebaliknya. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri berhubung cadangan penggunaan MyKad atau e-dompet dalam konteks penyasaran subsidi petrol.
-- SOKONG
Subsidi petrol RON95 hanya untuk rakyat yang layak
“Cadangan menggunakan MyKad atau e-dompet sebagai platform penyaluran subsidi petrol RON95 amat baik dan saya bersetuju dengannya.
Ini sebagai langkah kerajaan untuk tidak membenarkan golongan maha kaya terus menikmati subsidi yang sepatutnya diberikan hanya kepada rakyat berpendapatan rendah.
Kelebihannya, majoriti rakyat terus menikmati harga petrol bersubsidi manakala warga asing dan golongan kaya akan membeli pada harga yang lebih tinggi.
Ia juga satu bukti bahawa kerajaan komited membela nasib majoriti rakyat termasuk golongan pertengahan apabila berdepan cabaran kos sara hidup. Bagaimanapun, setakat ini perinciannya belum diputuskan lagi dan diharapkan ia mampu memuaskan hati kesemua pihak khususnya majoriti rakyat.”
* Peniaga, Nursafikah Khairul Nizam, 26 tahun.
Mulakan dengan MyKad terlebih dahulu
“Untuk permulaan, kerajaan mungkin boleh menggunakan kaedah MyKad terlebih dahulu untuk melihat sejauh mana keberkesanannya berbanding meluaskan kepada e-dompet.
Hal ini kerana subsidi yang bakal diberikan terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.
Ini juga memudahkan penduduk di luar bandar dan juga warga emas untuk memanfaatkan subsidi yang bakal diterima mereka.
Lebih-lebih lagi, penggunaan e-dompet buat masa sekarang masih lagi di tahap yang rendah dan hanya golongan muda sahaja mahir menggunakan aplikasi terbabit.
Menurut saya, penggunaan MyKad akan lebih memudahkan rakyat Malaysia, pekerja stesen minyak dan warga emas.”
* Pencipta kandungan digital, Mohamad Hafiz Mohd Arif, 25 tahun.
-- BANGKANG
Segelintir rakyat tak suka bawa kad pengenalan
“Pada pandangan saya, inisiatif kerajaan mengekang ketirisan subsidi petrol RON95 agar tidak disalah guna oleh warga asing dan golongan maha kaya sudah cukup baik.
Bagaimanapun, ia perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana zaman sekarang ada individu yang tidak suka bawa kad pengenalan jika hendak ke mana-mana.
Ia kerana sesetengahnya beranggapan lesen memandu sudah mencukupi sebagai dokumen pengenalan diri.
Tambahan pula, lesen memandu digital boleh diakses menerusi telefon pintar sahaja.
Berkenaan e-dompet, tidak dinafikan ia menjadi pilihan ramai. Mereka cenderung menggunakannya untuk membeli barangan dan makanan secara dalam talian tetapi ada yang belum pernah cuba atau mengerti kaedah penggunaan bagi subsidi minyak.
Apa pun, kerajaan diminta untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang kaedah penyaluran dan bagaimana rakyat yang layak boleh gunakannya.”
* Pekerja swasta, Maisyarah Ali, 25 tahun.
Tidak mesra pengguna buat golongan pertengahan umur, warga emas
“Bagi saya, penyaluran penyasaran subsidi RON95 menerusi MyKad tiada masalah tetapi e-dompet agak tidak mesra pengguna bagi golongan pertengahan umur atau warga emas.
Ia kerana kumpulan sebegini sudah terbiasa menggunakan wang tunai dan kad petrol atau kad khas tambah nilai untuk membayar di stesen minyak.
Kita faham niatnya baik tetapi perhalusi juga kesesuaian bagi golongan pertengahan umur dan warga emas di luar bandar memandangkan ini masih kaedah baharu dan belum terbiasa. Mereka tidak celik IT seperti orang muda yang tinggal di bandar.
Kalau guna aplikasi agak susah dan kasihanilah kepada golongan tua di kampung kerana tiada sesiapa yang boleh ajar mereka, perlu tunggu anak-anak balik untuk beritahu cara menggunakannya.
Selain itu, saya difahamkan data peribadi diintegrasi menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk penyaluran subsidi, namun perinciannya masih belum jelas.
Justeru, menjelang pelaksanaan pada pertengahan tahun depan, penerangan tentang mekanisme ini perlu dimulakan dari sekarang untuk mendidik masyarakat.”
* Pekerja swasta, Noratika Birin, 28 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!