Syor gelaran lain selain PhD untuk lulusan TVET
SHAH ALAM - Pindaan akta bagi meningkatkan tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya selari dengan peringkat ijazah termasuk sehingga tahap doktor falsafah (PhD) akan meningkatkan kebolehpasaran dan perkembangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Pakar TVET, Dr Bugs Tan bagaimanapun melihat kemungkinan akan menimbulkan konflik dan kekeliruan dalam kalangan pemain industri tentang kelulusan graduan.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mengambil kira penggunaan istilah PhD dan seumpamanya bagi kelulusan akademik tidak digunakan bagi lulusan TVET, sebaliknya diberikan gelaran lain.
“Saya rasa ia satu inisiatif yang baik, terutamanya bagi orang yang ada kemahiran dan mempunyai keinginan untuk meningkatkan kualiti dan kemahiran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Jika tidak, tahap tertinggi bagi SKM ialah sehingga lima sahaja sedangkan mereka ada potensi sehingga lapan, tetapi tiada peluang.
"Dengan pindaan ini, mereka boleh sampai ke tahap lapan dan adalah satu perkara yang bagus untuk negara.
“Bagaimanapun, saya melihat ia mungkin akan menimbulkan konflik dalam industri bagi membezakan kelayakan mereka yang ada kelayakan PhD akademik yang biasa, berbanding dengan PhD atau tahap tertinggi TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang sedang mengkaji pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) untuk meneroka kemungkinan meningkatkan tahap SKM supaya selari dengan peringkat ijazah termasuk sehingga tahap PhD.
Bugs yang juga Ketua Pendidikan Kemahiran TVET di Kolej ViTrox menjelaskan, kekeliruan itu akan memberikan arah yang salah kepada pihak industri.
“Jadi, penggunaan PhD harus dikekalkan bagi kelulusan akademik biasa dan lulusan Sarjana dan PhD TVET, diberikan nama lain.
“Sebagai contoh, gelaran Ir adalah gelaran profesional kepada jurutera profesional manakala gelaran Ts merupakan gelaran profesional bagi juruteknologi profesional. Jadi, pihak industri tahu kelayakan mereka daripada mana,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!